BETONG: Dua maut dan dua cedera dalam nahas jalan raya yang berlaku pada malam ambang 2019 di Batu 2, Jalan Lidung dekat sini malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan insiden sekitar jam 10.45 malam dan sepasukan lapan anggota dengan sebuah jentera, ambulans EMRS segera dikejarkan ke lokasi dari Balai Betong.

“Insiden merupakan kemalangan kendiri membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di tepi jalan.

“Impak kemalangan mengakibatkan dua mangsa tersepit manakala dua lagi cedera.

Sejurus tiba katanya, pasukan bomba terus melaksanakan kerja-kerja penyelamatan dan mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa seterusnya diperiksa oleh anggota paramedik Hospital Betong dan difahamkan kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian, sebelum diserahkan kepada pihak polis.

“Mangsa yang cedera pula dihantar ke Hospital Betong menggunakan ambulans EMRS dan ambulans hospital.

Mangsa yang maut dikenal pasti berbangsa Iban manakala seorang lagi rakyat Indonesia. –Sarawakvoice