Monday, June 27, 2022

Karim: Pemasaran pelancongan diperhebat untuk tarik pelancong ke Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Aspek pemasaran pelancongan Sarawak perlu dipertingkatkan dalam usaha mempromosikan negeri itu di mata dunia.

Sejajar dengan Kempen Melawat Sarawak 2019, ia disifatkan sebagai faktor wajib untuk pihak berkaitan memperkasakan pemasaran terutama pemain industri pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa ia merupakan perkara yang penting dalam usaha untuk menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

“Pemasaran pelancongan Sarawak akan dipertingkatkan dan saya harap semua pihak memainkan peranan dalam mempromosikan Sarawak.

“Kita juga berharap dengan agensi pelancongan, kerana mereka ada pemain industri yang bertindak untuk mengetengahkan produk pelancongan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menitikberatkan tentang isu logistik yang menjadi cabaran utama dalam soal pelancongan.

Antaranya termasuk faktor penginapan dan pengangkutan, yang perlu ditingkatkan.

“Jika semua pihak berusaha keras untuk mempromosikan Sarawak, saya percaya lebih ramai pelancong datang ke Sarawak,” katanya.

Dalam usaha memperkenalkan Sarawak kepada masyarakat luar di dunia, kaedah pemasaran juga perlu diubah.

Peredaran zaman berteknologi tinggi memungkinkan kaedah konvensional kurang mendapat perhatian di samping penggunaan teknologi internet.

Namun, apa yang menarik ialah faktor personaliti individu berpengaruh juga mampu dijadikan platform untuk membawa nama Sarawak peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, nama pelakon Hollywod kelahiran Sarawak seperti Henry Golding, serta pengarah filem, James Wann disifatkan berpotensi untuk mempromosikan Sarawak.

“Personality influences amat penting dalam mempromosikan Sarawak, mereka telah dikenali di dunia.

“Kita kini secara perlahan sedang bergerak ke arah itu, untuk bekerjasama dengan mereka,” jelasnya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru