JAGATPUR: Anshu Kumar, 22, dari Jagatpur, India, digelar “alien” kerana mempunyai wajah misteri.

“Ke mana sahaja saya pergi, mereka panggil saya alien. Mereka fikir saya orang asing…” getus Kumar memetik Mail Online.
Para doktor gagal mendiagnosis punca wajah Kumar menjadi sedemikian rupa, bahkan berpendapat “penyakit” tersebut sukar disembuhkan.

Ada yang menyangka Kumar mungkin menghidap sindrom Jacobsen.

Sindrom tersebut menyebabkan Kumar berjalan tidak normal, mengalami kesukaran berdiri dan rambut di kepalanya sukar tumbuh.

Wajah Kumar bermula dari mata yang “sempit” hingga ke atas kepala lebih besar daripada wajahnya.

Dengan hanya mendapat gaji 50 pound (RM264) sebulan di kilang setempat, Kumar tidak mampu bertemu pakar yang dapat merawatnya.
Kumar mengaku kerap sendirian walaupun ada kalanya keluar bersama kanak-kanak yang tinggal berdekatan.

Dia mengaku mahu menempuh kehidupan seperti manusia normal lain, dapat bercinta dan berkahwin, namun keinginannya terhalang dek kerana rupa parasnya.

Kumar merayu agar kerajaan dapat membantu menghulurkan kos rawatan buatnya agar dia sembuh dan boleh berkahwin serta mempunyai keluarga sendiri.

Dia berkata, “saya kelihatan berbeza dan tiada siapa yang menyukai saya kerana ini.” –Sarawakvoice