Tuesday, June 28, 2022

Pengerusi masjid rebah, sebelum meninggal di Kampung Lintang, Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pengerusi masjid rebah sebelum kemudiannya menghembuskan nafas terakhir ketika mempengerusikan mesyuarat agung masjid yang diketuainya siang tadi.

Kejadian berlaku di Masjid Darul Naim, Kampung Lintang di sini, yang menggunakan Dewan Sementara Kampung Lintang, setelah bangunan masjid dirobohkan untuk kerja-kerja pembinaan semula.

Haji Wan Sulaiman alias Bujang Tuanku Haji Fauzi, 74 tahun rebah ketika proses mesyuarat sedang berlangsung dan beliau usai menyampaikan aluan pengerusi.

Menurut saksi, sejurus rebah, beliau diberi rawatan kecemasan, sebelum dikejarkan ke Pusat Rawatan Pakar Normah, yang terletak sekitar tiga kilometer dari lokasi mesyuarat.

Mangsa bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11.15 pagi.

Wan Sulaiman merupakan bapa saudara kepada Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek yang juga Adun Samariang, Sharifah Hasidah Sayed Aman Ghazali.

Jenazah Allahyarham telah diuruskan di kediamannya di Jalan Merdeka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, petang tadi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru