Monday, November 28, 2022

Suasana kampung zaman dulu mahu dihidupkan kembali di Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Hidupkan kembali suasana kampung pada zaman dahulu dengan mengadakan persembahan-persembahan kesenian Melayu bagi memperkenalkannya kepada golongan belia dan generasi baru masa kini.

Justeru menerusi Majlis Seni Sarawak (MSS) pelbagai program kesenian dianjurkan bagi menghidupkan semula suasana seperti itu di Sarawak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MSS, Sharkawi Amit, bermula tahun ini pihaknya telah mengadakan beberapa program di kampung-kampung di kawasan Satok bermula di Kampung Bintangor Besar, Kampung Sungai Lajim, Kampung Masjid dan Kampung Patinggan.

“Antara aktiviti-aktiviti yang diketengahkan iaitu persembahan hadrah, tarian zapin, pertandingan karaoke dan persembahan muzik.

“Objektif program ini diadakan ialah untuk menggiat kembali persembahan kesenian yang sudah lama tidak pernah diadakan di kampung – kampung dalam tahun 60an, 70an termasuk mengadakan persembahan kesenian.

“Kini, kita sudah ketinggalan beberapa tahun lamanya mungkin ini merupakan langkah untuk kita menggiatkan kesenian Melayu untuk ditontoni oleh masyarakat setempat iaitu khususnya masyarakat Melayu yang ada di kampung- kampung nombor ini,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Persembahan Kesenian anjuran Majlis Seni Sarawak yang diadakan di Padang Slpas, semalam.

Katanya, Sarawak sememangnya memiliki bakat dan penggiat seni yang lama dan baharu.

“Sehubungan itu mereka perlu diketengahkan bagi mengembalikan nostalgia lama bagi mengingatkan kembali kesenian yang ada di perkampungan Melayu ini.

“Di samping itu juga, kita memperlihatkan kepada kanak-kanak baru sekarang yang tidak pernah melihat persembahan – persembahan di kampung – kampung umpamanya elemen-elemen yang pernah diadakan macam persembahan hadrah yang biasanya digunakan untuk orang kahwin tapi tidak bila kami mengadakan persembahan ini sebagai satu elemen persembahan muzik yang diketengahkan yang diberi nafas baru itu hadrah apatah lagi yang lain,”tambahnya.

Jelasnya, program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang pada setiap hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu dan akan diadakan secara bergilir-gilir mengikut kampung. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru