KUALA LUMPUR: Tanpa berselindung, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Azmin Ali mempertikai pelantikan jawatan utama parti itu oleh Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Dalam satu kenyataan sebentar tadi, beliau menggesa Anwar meneliti semula pelantikan jawatan-jawatan itu yang diumum semalam.

“Pelantikan yang menyusul selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

“Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.

Tegasnya, beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti.

Gambar fail

“Jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan berwibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran.

“Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan.

Begitu juga pelantikan MPP katanya, yang seharusnya dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP.

“Justeru, saya akan sekali lagi merujuk perkara ini kepada Presiden yang telah sedia maklum akan pendirian saya dan majoriti MPP yang dipilih.

“Pendirian ini telah dimaklumkan kepada Presiden beberapa minggu lalu dan saya menggesa Presiden memberi perhatian serius demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif. –Sarawakvoice

Katanya, idealisme reformasi dalam Keadilan menuntut parti itu bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan anggota Keadilan.

Dalam pemilihan parti itu yang lalu, Azmin memenangi saingan Timbalan Presiden, menewaskan Rafizi Ramli.