Saya merasa agak terkejut bila membaca kenyataan media Executive Director C4 Center, Cynthia Gabriel, bertajuk “Contributing PTPTN Money To Lembaga Zakat Kedah Raises Serious Suspicion Due To Conflict Of Interest” (“Menyumbang Wang PTPTN Kepada Lembaga Zakat Kedah Menimbulkan Keraguan Serius Kerana Konflik Kepentingan”) yang beliau keluarkan pada 28 Disember 2018 dan dilaporkan oleh portal berita Free Malaysia Today di bawah tajuk “PTPTN’s RM1 Mil Donation To Zakat Board Raises Suspicions, Says C4” (“Derma RM1 Juta PTPTN Kepada Lembaga Zakat Menimbulkan Keraguan”).

Di dalam kenyataan media beliau ini, Cynthia Gabriel menyatakan C4 Center terperanjat dengan tindakan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, menyumbangkan wang PTPTN kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah sehari sebelumnya. Ini kerana, kata beliau, Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid, sendiri sebelum ini mendedahkan bahawa PTPN meminjam wang RM51.2 bilion dan kekurangan RM39 bilion.

Kata Cynthia Gabriel lagi, C4 Center juga bimbang dengan pengurusan Lembaga Zakat kerana satu kajian yang dibuat oleh Prof Norma Saad dari UIAM dan Prof Naziruddin Abdullah dari UniKL bertajuk “Is Zakat Capable Of Alleviating Poverty? An Analysis On The Distribution Of Zakat Fund In Malaysia” (“Apakah Zakat Mampu Menghapuskan Kemiskinan? Satu Analisis Ke TAS Agihan Dana Zakat Di Malaysia”) didakwa menunjukkan bahawa perbelanjaan terbesar (zakat) adalah kepada kos pengurusan dan operasi berbanding kepada orang miskin.

Dakwa Cynthia Gabriel, kerana dana PTPTN adalah dimaksudkan untuk membantu para pelajar melanjutkan pelajaran mereka, dan mengaitkan sumbangan wang PTPTN kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah ini dengan Perhimpunan Agung BERSATU keesokan harinya, sumbangan wang PTPTN kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah ini adalah satu kes konflik kepentingan dan salah guna kuasa jelas yang terbit daripada lantikan-lantikan politik yang ditugaskan untuk menguruskan dana-dana berkaitan kerajaan.

Untuk itu, kata Cynthia Gabriel, lantikan-lantikan kepada jawatan-jawatan penting kerajaan mestilah dibuat berdasarkan kepada merit dan bukannya kepada kaitan politik.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian mengenai kenyataan media Cynthia Gabriel ini.

Pertamanya adalah sifat wang PTPTN yang diberikan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah. Kenyataan Wan Saiful yang dipetik oleh portal berita The Malaysian Insight dalam laporannya bertajuk “PTPTN Bayar Zakat Sejuta Kepada Kedah” pada 28 Disember 2018 adalah bahawa ia merupakan “zakat” di mana, kata beliau, “pembayaran zakat ini diharapkan dapat membantu sedikit sebanyak usaha pembangunan asnaf dan pembasmian kemiskinan di negeri Kedah”.

Zakat adalah satu kewajipan kepada individu dan organisasi, berbeza dari istilah “sumbangan” atau “derma” yang disebut oleh Cynthia Gabriel dan portal berita Free Malaysia Today yang merupakan satu pilihan.

Selaku sebuah perbadanan yang telah ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang di antara lainnya memberi kuasa kepadanya untuk “enter into equity participation, partnership, joint-venture, undertaking or any other form of co-operation or arrangement in association, or otherwise” dan untuk “establish or promote the establishment of companies under the Companies Act 1965” maka sudah tentulah PTPTN berkewajiban menunaikan zakat.

Bila wang RM1 juta yang diberikan oleh PTPTN kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah merupakan “zakat” maka selagi mana ia memenuhi tuntutan pengeluaran zakat maka tidak berbangkit soal ia “adalah satu kes konflik kepentingan dan salah guna kuasa”.

Keduanya adalah, selaku seorang penganut bukan Islam, Cynthia Gabriel patut lebih berhati-hati di dalam membuat sebarang ulasan mengenai institusi Islam seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah atau mana-mana Lembaga Zakat lain yang ada di Malaysia bagi mengelakkan ketegangan berterusan di dalam hubungan antara penganut agama berbeza di negara ini.

Tidak salah untuk Cynthia Gabriel menyatakan kebimbangan dengan pengurusan Lembaga Zakat asal sahaja ia diasaskan kepada data yang tepat dan objektif. Malangnya ini tidak berlaku di dalam kritikan beliau kerana, setelah meneliti kajian yang dibuat oleh Prof Norma Saad dari UIAM dan Prof Naziruddin Abdullah dari UniKL yang dirujuk oleh beliau, tidak didapati di mana-mana tempat dapatan bahawa perbelanjaan terbesar (zakat) adalah kepada kos pengurusan dan operasi berbanding kepada orang miskin.

Dalam Islam, agihan zakat diberikan kepada lapan golongan, iaitu al-Fuqara’ (golongan fakir), al-Masakin (golongan miskin), Amil (golongan pengutip zakat), al-Gharimin (golongan berhutang), Ibnu Sabil (golongan musafir), Muallaf (golongan baru memeluk agama Islam), Fisabilillah (golongan berjuang di jalan Allah) dan al-Riqab (golongan hamba).

Dapatan kajian yang dibuat oleh Prof Norma Saad dari UIAM dan Prof Naziruddin Abdullah dari UniKL adalah terdapat jurang antara kutipan dan agihan zakat di beberapa buah negeri, walaupun jurang di Kedah sendiri adalah kecil, di mana kadar agihan dana zakat di seluruh Malaysia pada 2009 adalah:
Pulau Pinang 108.1%
Perlis 106.0%
Melaka 104.7%
Selangor 98.4%
N. Sembilan 97.5%
Sabah 96.0%
Johor 89.2%
Perak 89.2%
Kelantan 84.9%
Kedah 82.9%
Terengganu 71.5%
W. Persekutuan 70.3%
Pahang 65.0%
Sarawak 64.0%

Dapatan lain kajian ini adalah Lembaga Zakat tidak mengikuti prinsip Al-Awlawiyyat (keutamaan) dalam agihan dana zakat dengan lebih banyak dana diagihkan kepada Fisabilillah berbanding Miskin dan Faqir, di mana jumlah agihan dana zakat mengikut asnaf di Kedah pada 2009 adalah:
Fisabilillah: RM22,555,241
Miskin: RM20,820,431
Amil: RM8,891,191
Faqir: RM2,360,790
Muallaf: RM1,156,380
Ibnu Sabil: RM215,475
Al-Gharimin: RM1,588

Satu kajian lebih baru mengenai kutipan dan agihan zakat di Kedah bertajuk “Analisis Penyata Kewangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Bagi Tahun 2015 Dan 2016” telah dibuat oleh Prof Madya Ram Al Jaffri Saad dari UUM pada Januari 2018.

Kajian Prof Madya Ram Al Jaffri Saad ini mendapati bahawa Jumlah Agihan Zakat Negeri Kedah bagi 2015 dan 2016 sentiasa mengatasi Jumlah Kutipan Zakat di mana Jumlah Agihan bagi 2015 adalah RM148,185,655 yang mengatasi Jumlah Kutipan bagi 2015, iaitu RM140,388,446 manakala Jumlah Agihan bagi 2016 adalah RM162,676,985 yang mengatasi Jumlah Kutipan bagi 2016, iaitu RM150,000,417.

Kajian Prof Madya Ram Al Jaffri Saad ini juga mendapati bahawa jumlah agihan dana zakat mengikut asnaf di Kedah pada 2015 adalah:

Fisabilillah: RM62,585,716
Miskin: RM60,350,677
Amil: RM16,875,340
Faqir: RM8,065,104
Muallaf: RM1,902,430
Ibnu Sabil: RM189,050
Al-Gharimin: RM32,100

Manakala jumlah agihan dana zakat mengikut asnaf di Kedah pada 2016 pula adalah:

Miskin: RM67,608,579
Fisabilillah: RM63,466,777
Amil: RM17,845,507
Faqir: RM11,791,594
Muallaf: RM1,680,590
Ibnu Sabil: RM245,840
Al-Gharimin: RM38,098

Berdasarkan kepada dapatan-dapatan kajian Prof Madya Ram Al Jaffri Saad dari UUM ini, malah dapatan-dapatan kajian Prof Norma Saad dari UIAM dan Prof Naziruddin Abdullah dari UniKL sekalipun, maka nyatalah dakwaan Cynthia Gabriel bahawa perbelanjaan terbesar (zakat) adalah kepada kos pengurusan dan operasi berbanding kepada orang miskin adalah tidak betul.

Jika yang dimaksudkan oleh Cynthia Gabriel bahawa “kos pengurusan dan operasi” ini adalah “Amil” sekalipun, maka “Amil” adalah salah satu daripada golongan asnaf yang dibolehkan menerima zakat, itu pun semua data yang dirujukkan dalam kedua-dua kajian ini menunjukkan bahawa jumlah agihan kepada “Miskin” sentiasa mengatasi jumlah agihan kepada “Amil”.

Oleh itu, tidak seharusnya pemberian zakat RM1 juta yang diberikan oleh PTPTN kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah ini dipersoalkan, apatah lagi untuk ia disifatkan sebagai “satu kes konflik kepentingan dan salah guna kuasa”.

Akhirnya, mengikuti aktiviti-aktiviti Wan Saiful selama ini, khususnya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS), yang pernah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu badan pengkaji polisi yang terbaik di Asia, beliau juga mempunyai merit yang lebih dari mencukupi untuk menjawat jawatan Pengerusi PTPTN. –Sarawakvoice

Penulis Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff,’UUM.