​Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama berhimpun di Majlis Perasmian Persidangan Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia bersempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali ke-2 pada malam ini.

Perhimpunan Agung Tahunan kali ini pastinya amat bersejarah. Ini adalah Persidangan Tahunan Srikandi dan Armada yang pertama. Perhimpunan Agung pada tahun ini juga adalah yang pertama diadakan selepas Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum ke-14.

Buat pertama kali sejak negara kita merdeka, rakyat membuat keputusan untuk menukar kerajaan dan kita semua menjadi sebahagian penting daripada detik bersejarah ini. Kita saksikan bagaimana kerajaan kleptokrat Barisan Nasional yang amat berkuasa suatu ketika dahulu tersungkur di kaki rakyat. Manakala Bersatu, daripada sebuah parti pembangkang yang kecil dan baharu ditubuhkan, diberikan mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan bersama-sama parti-parti anggota Pakatan Harapan yang lain.

Sama sekali tidak disangka
Ular lidi menelan buaya
Barisan Nasional rakyat tak suka
Pakatan Harapan menang bergaya

Tujuan saya menyebutkan hal ini bukan kerana hendak mendabik dada. Kita sedar jika bukan kerana mandat rakyat, Bersatu tidak akan menjadi parti yang berjaya membentuk kerajaan. Kuasa pemerintahan yang ada pada Bersatu dan Pakatan Harapan adalah suatu amanah daripada rakyat yang mesti digalas dengan sebaik mungkin.

Justeru, sebelum kita melangkah jauh ke hadapan, sewajarnyalah kita kembali melihat asas perjuangan parti kita. Bersatu lahir pada ketika negara berada dalam keadaan yang amat meruncing. Rasuah bermaharajalela, institusi negara diperkosa dan khazanah negara dirompak di siang hari.

Pada ketika itu, kita gusar memikirkan apakah nasib masa depan rakyat dan negara jika Barisan Nasional dibiarkan terus berkuasa. Di dalam fikiran kita yang akan terjadi ialah penjenayah akan terus memegang tampuk kuasa, negara akan musnah dan rakyat menjadi mangsa. Lalu, kita semua yang berada di dalam dewan ini pada malam ini, memberanikan diri bingkas bangun dan mara ke hadapan untuk menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman kerajaan kleptokrat Barisan Nasional. Kita menjadi saksi hidup akan kebangkitan rakyat menentang kleptokrasi terburuk di dunia.

Saat kita bangkit melawan, kita ditekan, diugut dan diancam. Kita tinggalkan pangkat dan kedudukan, kita pertaruhkan nasib masa depan kita, ada yang hilang jawatan, hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan, hilang sahabat handai dan rakan taulan. Kita tiada kuasa, tiada wang. Kita ambil risiko yang paling besar dalam hidup kita. Kenapa? Kerana kita sayangkan tanah air kita. Kerana kita ada satu kesedaran dan satu semangat yang berkobar-kobar untuk menyelamatkan negara.

​Antara yang bangkit ialah anak-anak muda Melayu dalam Armada dan Srikandi. Walaupun sebahagian besar daripada saudara dan saudari tiada pengalaman dalam politik sebelum ini, tetapi sejarah tidak boleh menafikan, saudara dan saudarilah yang paling berani mara bertempur dengan parti lawan sehinggakan mereka rebah tersungkur. Walau ditekan setiap masa, saudara dan saudari tidak pernah meninggalkan medan perjuangan. Ibarat

Patah sayap bertongkat paruh
Patah paruh bertongkat siku
Patah siku bertongkat dagu
Patah dagu bertongkat kuku

Ingat, semangat dan daya juang inilah yang memberikan nafas kepada parti kita selama ini. Alhamdulillah, kerana semangat dan daya juang ini jugalah kita telah berjaya menewaskan kerajaan kleptokrat Barisan Nasional dan menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Maka, di saat kita telah merangkul kejayaan, jangan kita lupa akan semangat dan daya juang ini. Kerana selepas ini tugas kita yang lebih utama ialah untuk membina negara dan melaksanakan segala janji kita kepada rakyat yang pastinya lebih mencabar. Justeru, suburkanlah jiwa sanubari kita dengan semangat perjuangan yang membara untuk membela rakyat dan negara. InsyaAllah, parti kita akan sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk melaksanakan amanah kepada rakyat.

AGENDA BUMIPUTERA

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Kemenangan kita di dalam pilihanraya umum yang lalu juga menandakan bahawa kita sedang memasuki satu era baharu dalam perjuangan memartabatkan kedudukan orang Melayu. Sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu adalah satu-satunya parti di dalam Pakatan Harapan yang menggalas tanggungajawab memperjuangkan nasib orang Melayu dan Bumiputera tanpa mengenepikan hak kaum-kaum lain.

Kita akui bahawa telah banyak inisiatif yang dilaksanakan dan institusi yang ditubuhkan untuk meningkatkan pencapaian orang Melayu dalam pelbagai bidang. Malangnya, di akhir pemerintahan Barisan Nasional, institusi-institusi untuk orang Melayu seperti Felda, Tabung Haji dan MARA dirompak dengan rakus oleh pemimpin Umno. Institusi-institusi ini telah runtuh dan hampir musnah disebabkan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berleluasa dalam kerajaan terdahulu. Mereka ini ibarat pepat di luar rencong di dalam. Telunjuk lurus kelengkeng berkait. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Maka, antara cabaran besar bagi Bersatu sebagai sebuah parti pribumi ialah untuk membuktikan kepada orang Melayu bahawa kedudukan mereka akan lebih terjamin di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan pencapaian orang Melayu yang masih rendah dalam pelbagai bidang.

​Misalnya, 74% daripada kumpulan B40, iaitu yang berpendapatan isi rumah bawah RM4,360 sebulan adalah orang Melayu dan Bumiputera. Mereka ini yang terdiri daripada petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga, pekerja dan buruh bertanyakan apa yang boleh kerajaan tawarkan kepada mereka? Adakah kehidupan mereka akan menjadi lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan atau sebaliknya?

​Kerana itu, saya ingin menegaskan bahawa Bersatu akan memperjuangkan satu dasar Agenda Bumiputera baharu yang akan benar-benar dapat memajukan orang Melayu dan Bumiputera seluruhnya. Saya akan mencadangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan agar Agenda Bumiputera dijadikan Dasar Teras Pakatan Harapan dan diterima oleh kabinet untuk dilaksanakan sebagai satu Agenda Nasional.

​Agenda Bumiputera yang baharu ini akan berasaskan konsep perkongsian kemakmuran bersama yang saksama atau equitable shared prosperity. Menerusi kerangka baharu ini, semua rakyat akan dapat menikmati kemakmuran negara secara bersama di mana tidak ada mana-mana kumpulan rakyat yang ketinggalan. Kejayaan ekonomi tidak lagi akan diukur berasaskan kadar pertumbuhan ekonomi semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dan penghapusan jurang pendapatan antara kaum, kelas dan wilayah.

Tumpuan dasar baharu ini ialah untuk mewujudkan kesamaan hasil (equal outcome) dan bukannya menyediakan kesamaan peluang (equal opportunities) semata-mata. Kesamaan peluang yang tidak membuahkan kesamaan hasil bukanlah satu dasar yang adil. Sebagai contoh, jika saudara mempunyai wang sebanyak RM10 dan rakan saudara mempunyai RM100 dan kedua-duanya diberikan peluang yang sama rata untuk menggandakan wang dengan masing-masing memperolehi 10% keuntungan.

Hasilnya, saudara akan memperolehi keuntungan sebanyak RM1 dan rakan saudara RM10. Begitu juga jika kedua-duanya memperolehi keuntungan sebanyak 100%. Pendapatan saudara akan meningkat kepada RM20 dan rakan saudara RM200. Ini kerana saudara bermula dengan pendapatan yang rendah. Justeru, jika tumpuan hanya diberikan kepada menyediakan kesamaan peluang dan bukannya kesamaan hasil, lama-kelamaan jurang kekayaan antara saudara dan rakan saudara akan terus melebar

Ini bermakna, orang Melayu yang masih ketinggalan dari segi pencapaian ekonomi mesti dibantu menerusi pelaksanaan satu dasar Agenda Bumiputera yang baharu untuk membolehkan mereka menikmati kemakmuran negara ini secara saksama. Ini termasuk usaha-usaha yang dilakukan secara berterusan dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian ekonomi mereka dari segi peningkatan pendapatan isirumah, kemajuan dalam bidang kerjaya dan keusahawanan serta kenaikan dalam kadar gaji, nilai simpanan dan pemilikan aset. Antara indikator keberhasilan dasar ini ialah:

i.​Peningkatan kuasa beli rakyat secara menyeluruh dengan kadar inflasi dan kos sara hidup yang terkawal;

ii.​Pengurangan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum, kelas dan wilayah;

iii.​Peningkatan jumlah pekerja Bumiputera dalam bidang-bidang berpendapatan tinggi dan teknologi baharu;

iv.​Penyertaan lebih menyeluruh dan sumbangan lebih besar Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera kepada Pendapatan Negara Kasar (GNI); dan

v.​Pengurangan jumlah pekerja asing, pengangguran dan gunatenaga tidak penuh (underemployment);

Asasnya ialah kita mahu menjadikan pencapaian ekonomi Bumiputera setanding dengan pencapaian ekonomi kaum-kaum lain. Justeru, Agenda Bumiputera tidak seharusnya tertumpu kepada usaha menangani kemiskinan relatif Bumiputera semata-mata, tetapi lebih daripada itu dapat membangunkan kumpulan profesional dan kelas menengah Bumiputera, serta melahirkan kumpulan korporat dan peniaga Bumiputera yang tulen, kompetitif dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Ini bakal mewujudkan satu generasi kelas perniagaan dan perindustrian Bumiputera yang mampu menjana kekayaan baharu, mewujudkan nilai tambah dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini.

​Dalam menjayakan Agenda Bumiputera, antara usaha penting yang mesti dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan ialah pembaharuan dan pemerkasaan institusi-institusi yang diamanahkan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB). Agensi-agensi pelaksana Agenda Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN, PUNB, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Unit Penyertaan Bumiputera juga hendaklah diberikan nafas baharu dengan melaksanakan tadbirurus yang baik dan membanteras gejala rasuah dan ketirisan.

​Di bawah dasar baharu ini, kerajaan mesti mengenalpasti kumpulan-kumpulan usahawan dan peniaga Bumiputera yang tulen untuk dibantu. Untuk tujuan ini, satu data-raya perniagaan Bumiputera boleh dibangunkan untuk mengenalpasti, memudahcara dan menyokong peniaga Bumiputera yang benar-benar layak.

​Data-raya ini juga akan dapat mengenalpasti kumpulan usahawan muda dan syarikat startup Bumiputera terutamanya yang menceburi bidang-bidang teknologi baharu dan ekonomi masa hadapan seperti ekonomi digital, tenaga diperbaharui, pertanian berautomasi dan kewangan berteknologi (fintech) selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0. Melalui data-raya usahawan tulen ini, pangkalan data syarikat-syarikat Bumiputera yang menerima perolehan kerajaan dapat disemak semula supaya lebih banyak syarikat Bumiputera yang berdaya saing dapat terlibat dalam perolehan kerajaan.

Selain itu, pelbagai inisiatif sokongan perlu dilaksanakan untuk memacu ekonomi Bumiputera. Ini termasuk:

i. Melaksanakan dasar keutamaan kepada syarikat Bumiputera dalam perolehan kerajaan dan dasar carve out and compete;

ii.​Mengenalpasti pemacu-pemacu ekonomi dalam kalangan korporat Bumiputera dengan projek ekonomi berskala besar untuk dimudahcara oleh kerajaan dengan syarat mereka memperkenalkan Program Pembangunan Vendor yang berpotensi membantu usahawan Bumiputera lain;

iii.​Menyediakan insentif dan sokongan kepada usahawan dan peniaga Bumiputera yang menceburi bidang-bidang teknologi baharu dan ekonomi masa depan; dan

iv.​Memperbanyakkan program kerjasama dan pementoran (mentorship) usahawan muda Bumiputera dengan syarikat-syarikat korporat Bumiputera dan GLC.

​Yang membezakan Agenda Bumiputera baharu ini dengan yang lama ialah pelaksanaan. Kita akan pastikan pelaksanaannya dilakukan dengan bersungguh-sungguh, telus dan bebas daripada amalan rasuah dan ketirisan. Selain itu, pemantauan secara berterusan juga akan dilaksanakan oleh sebuah badan yang mempunyai kuasa eksekutif untuk memastikan matlamat dasar ini dapat dicapai sepenuhnya. Badan ini akan bertanggungjawab untuk mengenalpasti sebarang permasalahan di peringkat pelaksanaan dan mengangkatnya kepada pihak kerajaan untuk diselesaikan.

Selain peranan kerajaan dalam melaksanakan Agenda Bumiputera, orang Melayu juga perlu mengubah sikap untuk berjaya. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, bantuan kerajaan semata-mata tidak memadai untuk menjamin kejayaan orang Melayu. Lebih daripada itu, orang Melayu sendiri hendaklah sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan dan daya saing.

Ini memerlukan orang Melayu untuk lebih rajin berusaha, berdisiplin dan berani mengambil risiko untuk menceburi pelbagai bidang keusahawanan dan perniagaan baharu. Kerajaan boleh menyediakan bantuan tetapi hanya diri kita sendiri yang mampu mengubah nasib bangsa kita. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du Ayat 11:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri

Sebagai sebuah parti pribumi, Bersatu tidak perlu bersikap apologetik untuk memperjuangkan Agenda Bumiputera. Pepatah Melayu ada menyebut jika hendak berpaut, berpautlah di dahan yang kukuh. Jika hendak berteduh, berteduhlah di pohon yang rendang. Jika hendak berlindung, berlindunglah di teluk yang tenang. Kepada orang Melayu saya ingin memberi jaminan bahawa yang dimaksudkan dengan dahan yang kukuh, pohon yang rendang dan teluk yang tenang itu ialah Bersatu. Bersatulah tempat untuk orang Melayu berpaut, berteduh dan berlindung.

AGAMA

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

Selepas Umno dan Pas kalah dalam Pilihanraya Umum ke-14, kedua-dua parti ini mengambil pendekatan politik perkauman dan agama yang ekstrem semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. Modal politik mereka hari ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah membangkitkan sentimen perkauman orang Melayu supaya menentang kerajaan Pakatan Harapan.

Mereka menabur fitnah kononnya orang Islam sudah tidak selamat di Malaysia, kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam akan terjejas, JAKIM akan dihapuskan dan undang-undang membenarkan amalan LGBT dan perkahwinan sejenis akan diluluskan oleh Parlimen.

​Telahan pembangkang ini ternyata meleset sama sekali. Raja-Raja Melayu masih bersemayam sebagai Ketua Agama Islam, JAKIM masih tegak berdiri, dan mustahil undang-undang membenarkan amalan LGBT dan perkahwinan sejenis diluluskan oleh Parlimen yang majoriti Ahli-Ahli Parlimen adalah orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Bahkan, Ahli-Ahli Parlimen bukan Islam pun saya percaya ramai yang tidak bersetuju dengan amalan LGBT yang bertentangan dengan ajaran agama masing-masing.

Malah, semua pimpinan Pakatan Harapan telah bersepakat untuk mendokong kedudukan Agama Islam sebagai Agama Persekutuan sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan kata lain, kedudukan agama Islam akan terus terpelihara di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Walaupun jelas di depan mata kita bahawa kedudukan agama Islam terus terpelihara, UMNO dan PAS terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan Pakatan Harapan di mata umat Islam.

Ini adalah amalan politik yang amat tidak sihat. Selain meracuni pemikiran umat Islam dengan pelbagai fitnah, penggunaan isu agama secara melampau untuk kepentingan politik yang sempit akan menimbulkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. Jika tidak dibendung, amalan politik kotor ini akan turut mempengaruhi pelbagai kumpulan dalam masyarakat dan memusnahkan perpaduan yang kita kecapi selama ini.

Racun ikan akar beluru
Ikan dimakan matilah rasa
Fitnah pembangkang bagai peluru
Membunuh umat hingga binasa

Jadi, kepada umat Islam khususnya, berjaga-jagalah dengan fitnah yang dijaja oleh Umno dan Pas. Jangan biarkan umat Islam binasa kerana termakan hasutan kedua-dua parti ini.

Jika Umno dan Pas menyangka mereka boleh menang pilihanraya dengan menabur fitnah berbaur sentimen agama, saya ingin berpesan kepada kedua-dua parti ini janganlah mimpi di siang hari. Jauh panggang dari api. Orang Melayu sudah kenal siapa Umno, siapa Pas. Kedua-duanya dua kali lima sahaja. Seorang perompak, seorang lagi nama sahaja Islam, tetapi sanggup bercium mulut dengan perompak.

​Orang Melayu akan tetap ingat sewaktu Umno berkuasa dahulu, kedua-dua parti ini sanggup bermain kayu tiga dan berkhalwat semata-mata untuk meraih laba politik. Bermacam-macam hujah dan istilah Islamik digunakan untuk mewajarkan perbuatan khalwat mereka. Kononnya, mereka berta’awun sesama Islam. Bila kita beritahu mereka pelbagai skandal dilakukan oleh pemimpin Umno, mereka kata tabayyun dulu. Seluruh dunia telah tahu skandal 1MDB, tetapi pemimpin Pas kata mereka puashati dengan penjelasan yang diberikan oleh 1MDB.

Berserban besar berkain pelikat
Keliling kampung naik basikal
Sekali dengar disangka malaikat
Rupanya bohong hujjahpun dangkal

Saya fikir Umno sepatutnya belajar dari sejarah. Tak usahlah jadi hidung tak mancung pipi tersorong-sorong hendak berpakat dengan Pas. Cerita Umno berpakat dengan Pas ini dah berkurun lamanya tetapi tidak pernah berlaku di alam nyata. Baru beberapa minggu yang lalu mereka duduk bersama di atas lori di Dataran Merdeka. Pemimpin Umno dan Pas berpegang tangan dan berpeluk cium sesama mereka.

Terujalah ahli-ahli Umno, kononnya inilah masanya kesatuan politik orang Melayu dan Islam akan benar-benar terbina. Ini satu detik yang amat bersejarah bagi mereka. Seolah-olahnya, kalau pilihanraya diadakan esok, Umno dan Pas akan menang dan membentuk sebuah kerajaan baharu.

Janganlah menunggu bulan jatuh ke riba. Tak sampai seminggu, berbondong-bondong wakil rakyat dan ahli Umno keluar parti. Lebih menyedihkan lagi buat Umno, Presiden Pas beberapa hari yang lalu buat satu kenyataan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana bahtera Umno sedang bocor katanya. Pas takut bahtera partinya juga akan karam kalau dilihat terlalu rapat dengan Umno

​Apa maknanya ini? Maknanya tiada harapan untuk Umno berpakat dengan Pas, dan Pas bukanlah sebuah parti yang boleh dipercayai. Pas hanya mementingkan partinya sendiri. Ia sebuah parti yang meletakkan Islam pada namanya, tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Jadi, tidak perlulah lagi Umno bermimpi di siang hari untuk berpakat dengan Pas dan kembali berkuasa.

Pas juga tidak mungkin akan dapat membentuk kerajaan persekutuan. Dengan sikapnya yang ekstrem, parti itu tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat untuk membentuk kerajaan. Selagimana Pas tidak mengubah sikap dan pendekatan politiknya, bagi saya parti itu akan jadi pembangkang buat selama-lamanya.

Kepada umat Islam, saya ingin menyebutkan bahawa Bersatu tidak menggunakan slogan Islam, tetapi kita melaksanakan Islam. Kita mencegah kemungkaran, menentang penyelewengan, memerangi rasuah, meningkatkan pencapaian ekonomi dan mengangkat maruah serta kehormatan umat Islam. Inilah kewajipan kita sebagai seorang Muslim. Malah perjuangan menegakkan Islam adalah salah satu asas perjuangan yang termaktub di dalam perlembagaan parti kita.

Justeru, saya ingin mengajak umat Islam supaya bersama-sama Bersatu dan kerajaan Pakatan Harapan dalam perjuangan membela umat Islam di negara ini. Bersatu bersedia untuk menerima pandangan pertubuhan-pertubuhan Islam dalam membentuk acuan Malaysia Baharu. Untuk itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pemuafakatan Ummah yang dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan dan badan-badan Islam untuk bersama-sama menyumbang kepada pembangunan ummah di Malaysia.

MELAYU TIDAK HILANG KUASA

Umno masih mendendangkan lagu duka nestapa kononnya orang Melayu sudah hilang kuasa di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Saya hendak beritahu orang Melayu, setelah Pakatan Harapan menang pilihanraya, orang Melayu tidak hilang kuasa. Yang hilang kuasa ialah Umno.

Inilah yang paling ditakuti oleh Umno. Apabila hilang kuasa, segala kesalahan mereka terbongkar dan pemimpin mereka terpaksa berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah. Bersatu menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Jika terbukti mereka bersalah, biarlah mahkamah yang menentukan nasib mereka.

Terbang helang Si Rajawali
Turun menyambar anak merbah
Hukum dan undang tidak dipeduli
Terimalah padah sesudah rebah

45.​Orang Melayu seharusnya bersyukur Umno kalah. Kerana dengan kekalahan itu pemimpin Umno tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa untuk menutup segala kesalahan dan penipuan mereka. Sesungguhnya kebenaran telah menjelma dan kebatilan telah lenyap. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Isra’, Ayat 81:

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan hilang lenyaplah perkara yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”

TANGGUNGJAWAB MELAKSANAKAN AMANAH

Saudara dan saudari yang saya hormati,

46.​Sebagai sebuah parti yang baharu menerima mandat rakyat, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri. Kita mesti ingat bahawa kuasa adalah satu amanah yang berat, bukan hak atau keistimewaan. Kuasa juga bukan sesuatu yang boleh kita bermegah-megah. Sesiapa yang diamanahkan dengan kuasa bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah dengan jujur, adil dan saksama.

47.​Dalam melaksanakan tanggungjawab kita, carilah pedoman, nasihat dan azimat yang berguna supaya kita tidak tersasar.

Tangan menceduk air minuman
Sarung capal di tempat mandi
Pandulah hidup dengan pedoman
Supaya bahagia kekal abadi

Tentunya pedoman kita yang paling utama ialah al-Qur’an al-Karim. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Nisa’ Ayat 58:

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.

Banyak lagi pedoman dan petua mengenai penerimaan amanah, khususnya dalam adat dan budaya Melayu. Bak kata pujangga Melayu, Tennas Affendi:

Adat orang menerima Amanah
Berserah diri kepada Allah
Kuatkan iman elokkan tingkah
Pukalkan hati jangan bercanggah

Apabila amanah sudah diterima
Siapkan diri dengan saksama
Jaga maruah peliharalah nama
Jalankan tugas dengan bijaksana

Berjasa jangan membusungkan dada
Berjaya jangan besar kepala
Berharta jangan menurutkan selera
Berkuasa jangan lupakan saudara

Supaya orang tetap percaya
Amanah diterima tak sia-sia

Apabila amanah sudah dijunjung
Berat dan ringan harus didukung
Penat dan letih harus ditanggung
Umpat dan keji harus ditampung

Bila bercakap jangan berbohong
Bila bergaul janganlah sombong
Bila dicabar janganlah bingung
Supaya melangkah tidak tersadung

Laksanakanlah amanah dengan sebaik mungkin. Khususnya, bagi mereka yang berada di dalam kerajaan, tumpukan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab sebagai anggota kerajaan. Kurangkan berpolitik, banyakkan bekerja. Berusahalah sehabis daya untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat. Sedarlah bahawa rakyat sedang menilai pencapaian kita sebagai kerajaan.

Rakyat hari ini sudah matang dalam mengamalkan politik demokrasi. Mereka memberikan sokongan kepada Bersatu dan Pakatan Harapan bukan kerana mereka taksub kepada parti kita. Sebaliknya, mereka menyokong kita dengan harapan kehidupan mereka akan menjadi lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan yang kita bentuk.

Justeru, kita mesti ingat bahawa yang dinilai oleh rakyat ialah prestasi parti, bukan jenama parti. InsyaAllah, jika kita dapat meningkatkan prestasi kita dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, parti kita akan terus mendapat sokongan dan dokongan rakyat.

PESANAN BUAT SRIKANDI DAN ARMADA

Kepada sayap Srikandi di bawah kepimpinan Saudari Rina Harun, andalah tiang seri parti. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Srikandi yang tetap setia berjuang untuk parti. Tatkala parti kita sedang bertatih, Srikandilah yang turun ke segenap ceruk pekan dan desa membantu parti untuk menambah ahli dan membaca sikap pengundi.

Srikandi Bersatu tidak pernah lemah semangat berdepan dengan parti lawan. Walaupun jumlah mereka jauh lebih besar, saudari-saudari semua tetap cekal mara ke hadapan menembusi kubu parti mereka. Alhamdulillah, dengan kesetiaan dan kecekalan semangat saudari-saudari semua, parti kita beroleh kemenangan.

Kekal mewangi bunga dahlia
Menjadi hiasan di tepi pintu
Cekal hati sentiasa setia
Itulah pegangan Srikandi Bersatu

Melangkah ke hadapan, Srikandi mestilah terus membina kekuatan. Tambah ahli seramai mungkin. Tarik minat wanita Melayu dan Bumiputera untuk menyertai Bersatu. Dekati mahasiswi di kampus, kumpulan wanita profesional di bandar, golongan wanita di pekan dan desa. Cari mereka yang berbakat untuk menyertai Srikandi. Di mana sahaja ada wanita, di situ mesti ada Srikandi.

​Selain itu, perkukuhkan perpaduan sesama ahli. Tingkatkan keupayaan Srikandi untuk melaksanakan gerakerja parti dengan tersusun. InsyaAllah, berbekalkan semangat yang cekal dan kesetiaan untuk berbakti kepada parti, saya percaya Srikandi akan menjadi sayap parti yang teguh.

Kepada sayap Armada di bawah kepimpinan Saudara Syed Saddiq, andalah tonggak utama Bersatu. Saya perlu memberikan pengiktirafan kepada Armada sebagai sayap parti yang hebat. Sepanjang kita berjuang untuk menewaskan kerajaan kleptoktrat Barisan Nasional, andalah yang berada di barisan paling hadapan membawa panji-panji parti.

Kita tentunya masih ingat Armada diserang dengan bertubi-tubi oleh parti lawan. Namun, Alhamdulillah, semangat dan daya juang saudara-saudara semua tidak pernah luntur. Armada terus mara dengan berani sehingga musuh kita tewas dan tersungkur. Tahniah saya ucapkan kepada Armada!

Dari Segamat ke Kuala Muda
Terbang merpati membelah awan
Sudah tersemat di jiwa Armada
Pejuang sejati berdarah pahlawan

​Yang lebih penting, masa depan Bersatu terletak di tangan saudara-saudara semua. Di sinilah bakal lahirnya pemimpin-pemimpin parti yang cekal dan hebat pada masa hadapan. Di sinilah medan latihan untuk saudara-saudara mengasah bakat kepimpinan sebagai persediaan untuk mengemudi parti suatu hari nanti.

​Justeru, perbanyakkan program-program kaderisasi untuk menarik minat anak-anak muda yang berbakat menyertai Bersatu. Sediakan program latihan kepimpinan yang mantap untuk mereka. Bukalah ruang yang seluas-luasnya kepada anak-anak muda di luar sana untuk menyertai Bersatu dan menyumbang kepada parti.

​Kita bersyukur kerana majoriti ahli Bersatu adalah anak-anak muda. Ini adalah satu petanda yang amat baik kepada masa depan parti kita. Sebuah parti yang dianggotai oleh anak-anak muda adalah parti yang releven pada masa kini dan insyaAllah akan kekal releven pada masa hadapan.

Pimpinan Bersatu sentiasa terbuka untuk menerima pandangan daripada Armada dan Srikandi. Lebih-lebih lagi saudara dan saudari bakal menerajui parti dan insyaAllah negara pada suatu hari nanti. Maka, sewajarnyalah saudara-saudari diberikan peluang untuk mengambil bahagian secara lebih bermakna dalam mencorakkan masa depan parti dan negara ini.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Perjalanan kita masih jauh. Parti kita masih baharu. Masih banyak onak, duri dan ranjau yang perlu kita tempuhi. Masih luas lurah dan lembah yang perlu kita lalui. Masih tinggi gunung yang mesti kita daki. Jalan di hadapan kita masih berliku. Inilah lumrah dalam perjuangan. Hanya yang cekal dan berani akan terus berjuang.

Yang penting kita mesti perkukuhkan parti. Elakkan sengketa sesama kita. Jauhi fitnah dan adu domba. Utamakan perpaduan dan semangat setiakawan. Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti. Barulah bahtera parti kita akan berjaya melayari lautan luas yang tidak bertepi.

Berilah sokongan padu kepada pemimpin yang amat kita sanjungi, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Bersatu dan Perdana Menteri. Berilah ruang seluas-luasnya kepada YAB Tun untuk memulihkan negara dan sekali lagi melonjakkan Malaysia ke mercu kejayaan dan kegemilangan di persada dunia.

​Kita juga mesti kukuhkan kesatuan dalam Pakatan Harapan. Tingkatkan persefahaman dan kerjasama kita dengan parti-parti anggota Pakatan Harapan di setiap peringkat. Elakkan prasangka sesama kita. Tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha untuk memenuhi harapan rakyat yang telah memilih kita sebagai kerajaan. Inilah masanya untuk kita membina semula Malaysia. Inilah masanya untuk kita kotakan segala janji kepada rakyat. Usahlah bertingkah sesama kita yang akhirnya akan merugikan kita semua.

​Ingat bahawa kemenangan Bersatu adalah kerana kita berada di dalam Pakatan Harapan. Kemenangan Keadilan, DAP dan Amanah juga adalah kerana mereka semua berada di dalam Pakatan Harapan. Kita tidak boleh bersendiri dalam perjuangan ini. Mustahil kita dapat mentadbir negara dengan hanya bersandarkan kekuatan parti kita sahaja. Kita saling memerlukan antara satu lain. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Jadi, bermuafakatlah kerana muafakat itu pasti membawa berkat.

Ayuhlah, bangkit bangun saudara-saudari semua. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Bara yang digenggam biar sampai jadi arang. Sudah tersurat, kita adalah pejuang parti. Binalah parti kita. Perkukuhkan kesatuan kita. Gerakkan seluruh kudrat Armada dan Srikandi untuk perkuatkan parti. Bersatulah dalam perjuangan parti kita yang suci. Rapatkan barisan. Kuatkan azam. Jadilah kita semua seperti binaan yang tersusun kukuh.

​Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. InsyaAllah, berkat kesungguhan kita semua, jalan di hadapan milik kita. Bersatu akan berdiri megah sebagai parti yang kuat dan teguh. Kita bina bangsa Melayu yang bermaruah. Kita bangunkan Malaysia yang gemilang.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Tahunan Srikandi dan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

BERSATU! BERSATU! BERSATU!

TEKS UCAPAN, YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
PRESIDEN, PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA