Friday, August 19, 2022

Bantuan kemanusiaan Rohingya dan bencana di Indonesia bukti keprihatinan Malaysia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tahun 2018 membuktikan kerajaan dan rakyat Malaysia sentiasa prihatin dan bermurah hati untuk menghulur bantuan kepada pelarian dan mangsa bencana alam tanpa mengira bangsa dan agama di negara jiran tetangga antaranya menerusi misi pasukan kemanusiaan di Palu, Indonesia dan Cox’s Bazaar, Bangladesh, tahun ini.

Ini diserlahkan dengan kesungguhan Malaysia dalam usaha membina semula dan memulihkan kawasan dilanda bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami di Indonesia serta misi kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar, Bangladesh.

Rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, sama ada individu, ahli politik, peniaga, syarikat atay badan bukan kerajaan telah bekerjasama untuk berada di barisan membantu mangsa pelarian dan bencana alam ini.

Antara bantuan kemanusiaan yang menarik perhatian ialah pembinaan Perkampungan Ummah di Kota Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia yang dikelolakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perkampungan itu yang dibina dengan anggaran kos RM1 juta itu dilengkapi 100 rumah, masjid, dapur umum, pompa (perigi) air serta kawasan permainan kanak-kanak yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ia antara inisiatif terbesar dalam misi bantuan kemanusian dari Malaysia ke kawasan yang terkesan akibat gempa dan tsunami yang menerjang Kota Palu pada 28 Sept lepas dan dilaporkan mengorbankan sekurang- kurangnya 2,000 penduduk, manakala lebih 7,000 rumah rosak teruk.

Bagi kejadian gempa bumi di Lombok Utara pada 5 Ogos lepas, organisasi bantuan seperti Global Peace Mission (GPM) Malaysia turut mengambil langkah proaktif dengan membina rumah sementara serta menyediakan tangki air di kawasan yang terjejas bagi memastikan nasib mangsa bencana itu terus terbela.

Di samping itu, turut mencuri tumpuan ialah usaha Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyediakan perkhidmatan pesawat A400M dan C130H bagi misi kemanusiaan di Palu.

Penghantaran keperluan asas itu ke Kota Palu, secara tidak langsung mempamerkan kecekapan dan kepakaran juruterbang ATM mengendalikan A400M, pesawat pengangkut terbesar di rantau ini walaupun keadaan landasan di kota itu tidak begitu baik akibat bencana itu.

Di samping itu, ATM turut menunjukkan kecemerlangan di Cox’s Bazaar, Bangladesh apabila anggota perubatan ATM di Hospital Medan Malaysia berjaya melakukan 13 pembedahan laparoskopik, atau pembedahan menggunakan kamera tanpa sebarang komplikasi.

Ia merupakan pencapaian terbaik pasukan perubatan ATM kerana tiada hospital di wilayah Cox’s Bazar yang memiliki kepakaran pembedahan laparoskopik selain Hospital Medan Malaysia.

Hospital Medan Malaysia mula beroperasi hujung 2017 selepas kebanjiran lebih 700,000 pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh akibat tentera Myanmar di utara Wilayah Rakhine pada 25 Ogos tahun lepas.

Setakat ini, hampir 14,000 pesakit dirawat sejak Mac lalu selepas ATM mengambil alih operasi hospital medan daripada Kementerian Kesihatan.

Daripada perspektif lain, Kerajaan Malaysia telah memainkan peranan penting untuk membina semula dan memulihara mangsa pelarian serta mereka yang dilanda bencana alam. Sebagai permulaan, Malaysia komited untuk meneruskan operasi Hospital Medan Malaysia bagi memastikan pelarian Rohingya terus mendapatkan rawatan terbaik.

Bagi mangsa gempa dan tsunami, beberapa tabung telah ditubuhkan dan semua lapisan masyarakat Malaysia telah menghulurkan bantuan.

Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi adalah satu contoh keikhlasan rakyat Malaysia membantu dalam projek pemuliharaan, membina semula komuniti yang terjejas dan memberikan nafas baharu kepada mereka yang telah kehilangan punca pendapatan berikutan bencana alam.–BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru