KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dilantik Naib Presiden Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat yang baharu, dengan kapasiti mewakili suara ahli parti itu dari Sabah dan Sarawak.

Ia menambah jumlah keahlian dari Sarawak dalam MPP 2018-2021.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sarawak manakala Ahli Parlimen Julau, Larry Sng menang sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluar Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, turut dilantik ialah Rafizi Ramli dan Chang Lih Kang sebagai Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung dan Lee Chean Chung sebagai Bendahari Agung.

Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pula dilantik Ketua Penerangan: manakala Nik Nazmi Nik Ahmad diangkat sebagai Setiausaha Pengelola.

Gambar fail

Enam Ahli MPP Lantikan ialah Lee Khai Loon, Faisal Sanusi, Syed Ibrahim Syed Noh, Rayyan Abdul Rahim, Raymond Ahuar dan Kesavan Subramaniam.

Dato Mansor Othman pula dilantik Pengarah Strategi manakala Fahmi Fadzil Pengarah Komunikasi.

Timbalan Setiausaha Agung pula dijawat Dato Dr R Santhara Kumar manakala
Timbalan Ketua Penerangan, Sim Tze Tzin dan Manivanan Gowin.

Menurut Anwar, pelantikan ini melambangkan gandingan pimpinan dari seluruh pelosok negara yang pelbagai kaum, merangkumi tua dan muda, lelaki dan wanita yang merupakan kekuatan parti itu.

“Mesyuarat MPP turut mencadangkan Tian Chua untuk mengetuai Jawatankuasa Keanggotaan dan Dr Lee Boon Chye mengetuai Jawatankuasa Sistem Pemilihan Parti.

“Diharapkan mereka dapat memikul amanah besar untuk menunaikan harapan rakyat dalam era Malaysia Baharu ini,” katanya. –Sarawakvoice