Saturday, December 3, 2022

Chieng Jen kritik Dr Anuar umum RM80 juta bina dua sekolah di Bintulu, Betong; namun lupa tanggungjawab bina sekolah adalah di Kerajaan Persekutuan

Secara Rawak

KUCHING: Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen menyindir Menteri Muda Pendidikan dan Teknologi Penyelidikan Sarawak, Dr Anuar Rapaee berhubung kos pembinaan dua buah sekolah rendah di Betong dan Bintulu, yang dibina menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri melebihi RM80 juta.

Chieng Jen berkata, pengumuman ini dibuat dalam Dewan Undangan Negeri pada November lalu.

“Berdasarkan tinjauan dan kajian terhadap sekolah-sekolah ini, ia tidak terletak jauh di pedalaman, malah kedua-dua sekolah dapat diakses dengan jalan berturap serta terletak berdekatan jalan di Bintulu dan Betong.

Kedua-dua sekolah akuinya, mempunyai lebih 500 murid dan kos tersebut seperti membina sebuah kolej berbanding sebuah sekolah rendah.

Chieng Jan yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberitahu, beliau tidak mahu pembinaan sekolah dijadikan seperti ‘mesin pencetak duit’ untuk Kerajaan Negeri yang di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ironinya, di sebalik kenyataan tersebut, Chieng Jen tidak pula mengakui bahawa bidang kuasa membina sekolah dan menyediakan kemudahan di sekolah, termasuk membina semula lebih 1,000 sekolah daif di Sarawak adalah dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Tidak pula dinyatakan berapa buah sekolah baharu dibangunkan di Sarawak pada tahun hadapan , selain kritikan terhadap Dr Anuar, yang secara jelas memaklumkan tindakan Kerajaan Negeri itu adalah disebabkan Kerajaan Persekutuan meluluskan bina semula sekolah-sekolah berkenaaan, dan sekolah lain.

Sebaliknya, rakan Chieng Jen yang juga Adun Pending, Violet Yong semalam lebih cenderung menghebahkan penyaluran dana kepada 185 sekolah-sekolah bantuan dan mubaligh di Sarawak secara elektronik, yang disifatkan sebagai satu perubahan ketara dalam agihan bantuan kerajaan.

Katanya, sejumlah RM9.39 juta telah dikreditkan kepada akaun sekolah pemohon, dengan enam daripadanya merupakan sekolah mubaligh.

Pada majlis yang sama, beliau turut mendedahkan pemberian geran bantuan berjumlah RM44 ribu kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hua Pending untuk mengecat sekolah secara bergotong-royong pada Mac tahun depan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru