SHAH ALAM: Polis Selangor menahan Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah sekitar jam 2.40 petang tadi kerana

kenyataan berunsur provokasi yang dikeluarkannya ketika berucap pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy, di Klang, semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat
ketika mengesahkan penahanan berkata, Azwanddin ditahan di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat Kuala Lumpur.

“Ini membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Katanya, siasatan lanjut juga perlu diteruskan atas ugutan untuk menyerang polis.

“Polis akan memohon prosedur reman terhadap suspek di Mahkamah Klang pada jam 9.00 pagi esok.

“Dia juga akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana melakukan penghinaan ke atas individu.

Azwanddin semalam mengugut akan menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang menyebabkan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

“Saya hendak ditahan, waran tangkap dikeluarkan untuk saya kerana saya berhimpun di Putrajaya.

“Saya tidak bunuh orang. Saya tidak culik orang pun. Yang saya buat, saya bangkit kerana Melayu dan Islam. Apa itu sebab saya ditahan, ditangkap?

“Saya memberi amaran kepada mereka, tangkap pemaju, tangkap peguam. Jika tidak kita akan serang balai polis Klang tuan-tuan, puan-puan,” katanya. –Sarawakvoice