Bantuan sara hidup RM300 diagih 28 Januari

0
3

PUTRAJAYA : Bantuan Sara Hidup (BSH) peringkat pertama akan diagihkan bermula 28 Januari hadapan mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng, pada hari ini, atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pembayaran BSH 2019 dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.

“Ini akan melibatkan peruntukkan berjumlah RM1.2 billion yang mana bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima.

“Kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang kemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak bagi membolehkan bayaran dibuat cepat sebelum bulan Februari 2019.

“Selain itu, proses pemutihan untuk mengeluarkan nama penerima yang tidak layak kerana mereka bukannya daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan,”ujarnya.

Jelas Guan Eng, setelah pangkalan data dikemas kini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baru seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan Program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.

“Kriteria pembayaran dan kaedah baru akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,”katanya. –sarawakvoice