Kahwin campur di Sarawak unik, dan umpama kuih — Abang Jo

0
17

KUCHING: Kerajaan Negeri telah meluluskan sebidang tanah bagi membina bangunan khas Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR), Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya bangunan UNIFOR, ia akan menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang berbeza daripada negeri-negeri lain.

“Sarawak mempunyai keunikan budaya dan kita harus mempertahan kebudayaan tersebut untuk hidup dalam keadaan yang aman dan damai,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Krismas, di sini hari ini.

Katanya, orang lain mungkin tidak faham situasi di Sarawak yang rakyatnya seperti abang, adik dan banyak kahwin campur.

“Perkahwinan campur adalah seperti kuih.

“Jika kuih itu sedap maka ia adalah baik dan jika kuih tersebut salah diuli, maka ia tidak akan sedap (tidak baik),”ujarnya.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri telah memperuntuk sebanyak RM20 juta pada tahun ini kepada UNIFOR dan dalam pembentangan bajet baru-baru ini, telah meluluskan dana tambahan sebanyak RM10 juta kepada UNIFOR — menjadikan jumlah keseluruhan dana adalah sebanyak RM30 juta.

Terdahulu, beliau bersama-sama isteri Datin Patinggi Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah berkunjung ke rumah terbuka Datuk Aloysius J. Dris di Kesuma Resort.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah; dan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. –Sarawakvoice