KUCHING: Seorang petugas Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ditemui mati di dalam keretanya di kawasan parkir Pustaka Negeri Sarawak semalam.

Lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam lewat petang semalam.

Difahamkan mangsa sebelum itu berjoging di kawasan berkenaan sebelum masuk ke dalam keretanya.

Menurut sumber, mangsa dikenali sebagai Manikom itu bertugas sebagai pemandu di Bahagian Mekanikal dan Elektrik DBKU.

Orang awam yang menyedari kejadian itu segera menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan yang tiba di lokasi.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek mengesahkan ada menerima laporan kes tersebut. –Sarawakvoice