Dr Dzulkefli hubungi Dr Sim untuk jamin Sarawak akur larangan merokok di tempat makan

0
19

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sarawak melalui Pihak Berkuasa Tempatan akan menyelaraskan undang-undang di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), Akta Makanan 1983.

Penyelarasan tersebut dilakukan untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan agar pertindanan undang-undang yang melibatkan peraturan negeri dapat diatasi.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Dzulkefly Ahmad, dalam satu kenyataan sebentar tadi berkata, beliau telah menghubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Profesor Datuk Dr Sim Kui Hian berhubung laporan akhbar The Borneo Post bertarikh 23 Disember berkaitan “Smoking ban doesn’t apply to Sarawak” bagi mendapatkan kefahaman dalam isu tersebut.

“Saya berasa sangat berbesar hati kerana Datuk Dr Sim dan Kerajaan Sarawak menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam melaksanakan pindaan Peraturan Larangan Merokok yang melibatkan tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin termasuk tempat makan terbuka.

“Kenyataan yang dikeluarkan pada tarikh tersebut mungkin telah disalah tafsir oleh segelintir masyarakat berkaitan larangan merokok di tempat makan di negeri Sarawak.

“Walau bagaimanapun, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menunjukkan sokongan tanpa henti berkaitan larangan merokok yang akan dikuatkuasakan ini,”jelasnya.

Tegasnya, beliau menyeru sokongan berterusan dari segenap lapisan masyarakat agar hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat dilindungi daripada bahawa asap rokok dapat dicapai. –Sarawakvoice