Seorang lelaki temui ajal ketika memancing di Kuching malam tadi

0
7

KUCHING: Seorang lelaki menemui ajal ketika memancing di Taman Sinar Serapi, Kolong 2 Jalan Sungai Tengah Matang malam tadi.

Mangsa dikatakan terkena renjatan elektrik yang terputus secara tiba-tiba.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata pihaknya menerima panggilan sekitar jam 8.42 malam tadi.

“Sejurus menerima panggilan tersebut, sebuah FRT dan ambulans EMRS dengan kekuatan 10 anggota yang diketuai oleh Kamri Bujang dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya diatur gerak menuju ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan masih berbaring di dalam parit anggaran 1.5 meter kedalaman di bahu jalan.

“Maklumat awal saksi daripada orang awam mendapati, mangsa dikatakan memancing di sekitar kawasan tersebut,”ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya, satu wayar dipercayai kabel terputus secara tiba-tiba dan terkena pada mangsa.

“Kerja-kerja operasi bagi mengangkat mangsa pada awalnya tidak dapat dilakukan memandangkan masih terdapat arus elektrik.

“Setelah pihak Sesco dipanggil bagi menyekat arus elektrik mangsa kemudiannya berjaya diusung dan diangkat ke tempat selamat.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,”jelasnya.

Operasi ditamatkan sekitar jam 10.14 malam tadi. –Sarawakvoice

Foto: Page Sarawak Viral