Johan tilawah al-Quran bawa pulang RM700

0
8

KUCHING: Festival lagu dakwah nusantara antara yang boleh dimasukkan ke dalam program Festival Seni dan Budaya Nusantara bagi menghargai kesenian serta mengukuhkan ikatan ukhuwah di nusantara.

Itu yang disarankan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Haji Taha ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Tilawah Al-Quran anjuran Majlis Seni Sarawak yang diadakan selama dua hari, di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau telah memaklumkan kepada Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mengenai cadangan untuk menganjurkan Festival Seni dan Budaya Nusantara pada bulan hadapan.

“Kami di Majlis Islam telah menganjurkan Nadwah Ulama Nusantara yang mana merupakan satu pendekatan yang kami ambil dengan mengumpulkan semua ulama nusantara di Bandar Kuching.

“Selain itu, kami juga mempromosikan Bandar Kuching sekaligus memaklumkan bahawa khazanah budaya nusantara itu banyak boleh diselongkari dan boleh dimajukan seandainya diberi perhatian,”ujarnya.

Sementara itu, majlis tilawah ini telah diadakan dalam dua peringkat iaitu Peringkat Saringan pada Sabtu (semalam) dan Peringkat Akhir pada Ahad (hari ini).

Seramai 23 peserta telah menyertai Majlis Tilawah Al-Quran 2018 yang mana sembilan daripada mereka peserta kanak-kanak lelaki bawah umur 12 tahun, sembilan peserta kanak-kanak perempuan bawah 12 tahun dan lima peserta terbuka dewasa.

Johan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM700 beserta piala, senaskah Al-Quran dan sijil.

Manakala, naib johan mendapat wang tunai berjumlah RM500 beserta piala, senaskah Al-Quran dan sijil.

Bagi tempat ketiga dan keempat pula masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 300 dan RM100 beserta Al-Quran dan sijil.

Seterusnya, saguhati akan membawa pulang senaskah Al-Quran dan sijil.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Sharkawi Amit serta Ketua Penyelaras Program, Azhar Arshad. –Sarawakvoice