Tuesday, September 27, 2022

Hadiah Krismas paling istimewa buat empat buah kampung di hulu Padawan

Secara Rawak

PADAWAN: Penduduk dari empat buah kampung di hulu Padawan mendapat hadiah Krismas paling istimewa apabila pembinaan jalan raya standard R3 ke kampung mereka sudah disiapkan dan dimula digunakan sejak Oktober lalu.

Majlis perasmian dua batang jalan raya tersebut, iaitu Jalan Kakas-Jalan Kiding sepanjang 2.8 km yang dibina dengan kos RM4.7 juta dan Jalan Parang-Jalan Sapit sepanjang 3.2 km berharga RM4.9 juta itu disempurnakan oleh Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil hari ini.

Dengan siapnya dua jalan raya tersebut bermakna penduduk dari empat kampung kaum Bidayuh itu, yang terdiri daripada kira-kira 300 keluarga kini boleh memandu kereta mereka terus ke depan rumah mereka.

DrJerip dalam ucapan beliau berkata dengan siapnya pembinaan jalan raya berkenaan sudah pasti akan memudahkan pergerakan penduduk terbabit serta meningkatkan kegiatan ekonomi dan taraf kehidupan mereka.

“Inilah hadiah Krismas yang paling berharga bagi semua penduduk dari empat buah kampung terlibat kerana sudah sekian lama mereka menunggu kemudahan seperti ini,” kata Dr Jerip.

Menurut beliau, projek berkenaan diluluskan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Dr Jerip menambah pembinaan jalan raya diberi keutamaan oleh kerajaan dalam usaha menyedia perhubungan kepada rakyat, khususnya di luar bandar.

Beliau percaya empat kampung berkenaan yang bersempadan dengan Kalimantan Barat, Indonesia, khususnya Kampung Sapit berpotensi untuk membangun menjadi sebuah pusat perantaraan dan perdagangan di masa akan datang apabila Pos Imgresen dan Kastam dibina di situ.–BERNAMA

Foto: Page Gkmdm Dun Mambong

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru