Monday, August 15, 2022

Cubaan rompak kedai 24 jam: Polis tahan lelaki 22 tahun

Secara Rawak

KUCHING: Seorang remaja ditahan polis selepas tiga jam melarikan diri apabila cubaannya merompak sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kota Sentosa hari ini gagal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa ketika mengesahkan tangkapan itu, berkata suspek berusia 22 tahun.

Menurutnya suspek ditahan kira-kira 9.20 pagi di sebuah rumah di Jalan Batu Kawa.

Suspek katanya sebelum dilaporkan itu melakukan kesalahan jenayah rompakan bersenjata di sebuah kedai di Kota Sentosa sekitae 6.30 pagi.

Suspek yang bersenjatakan pisau pemotong sayur itu dikatakan cuba merompak kedai berkenaan namun tindakannya disedari pekerja premis tersebut.

“Salah seorang pekerja yang berada di kaunter pembayaran menjerit mendakwa dia dirompak suspek.

“Suspek kemudian berlari keluar dari dalam kedai sambil membawa pisau pemotong sayur dan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

“Akibat dari kejadian itu,kawan pengadu mengalami kecederaan luka di lengan kanan,” katanya.

Bertindak atas laporan itu, kata Merbin pihaknya telah berjaya mengesan suspek sebelum melakukan tangkapan.

Polis turut menjumpai pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa rompakan tersebut.

“Dengan berpandukan arah oleh suspek, polis telah menemui semula pisau yang dibuang ke dalam longkang di hadapan rumahnya.

“Suspek mengaku telah merompak kedai 24 jam di Kota Sentosa dan mencederakan mangsa yang berada dalam kaunter kedai tersebut,”katanya.

Menurut Merbin, suspek juga menyatakan telah bertindak merompak di bawah pengaruh dadah dan melarikan diri menggunakan kereta jenis bezza warna putih.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan sehingga menyebabkan kecederaan pada mangsa.

Suspek akan direman bagi membantu siasatan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru