RM1.8 juta untuk program perkasa NGO di Sarawak pada tahun depan

0
7

KUCHING : Setiap Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang memohon geran di bawah Program Pemerkasaan NGO perlu mengemukakan kertas kerja yang mengandungi elemen-elemen yang menekankan objektif program termasuk perincian peruntukkan yang diperlukan.

Itu yang disarankan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah dalam ucapannya semasa merasmikan Program Sejambak Kasih Krismas 2018.

Jelas Fatimah, setiap NGO hendaklah mengemukakan kertas kerja kepada kementeriannya selepas 14 hari tamat program.

“Ia adalah untuk memastikan setiap geran yang telah diperuntukkan mendapat impak yang tinggi kepada komuniti.

“Hal ini kerana, pada tahun hadapan sejumlah RM1.8 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti,Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak di bawah Program Pemerkasaan NGO,”ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 497 NGO telah bekerjasama dengan pihak kementeriannya selama ini dalam menganjurkan pelbagai program dan memberi bantuan secara langsung kepada komuniti melalui geran yang telah disalurkan.

Sebanyak 112 NGO Bahagian Kuching telah menerima Kek Lapis antaranya ialah Persatuan Pengasuh Kanak-Kanak Berdaftar Sarawak, Pertubuhan untuk Kanak-Kanak Sakit Kritikal, Pertubuhan Kanser Kanak-Kanak Negeri Sarawak, Persatuan Ping Pong dan Ten Pin Boling Para Sarawak, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak.

“Objektif program ini adalah untuk memastikan setiap NGO terus aktif dalam melaksanakan pelbagai program termasuk merancang aktiviti-aktiviti pada tahun hadapan,”katanya. –Sarawakvoice