Monday, August 15, 2022

Projek Klinik Kesihatan di Long Napir, Limbang diluluskan

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa projek pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Enam di Long Napir, Limbang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-10.

Pengarahnya, Dr Jamilah Hashim dalam kenyataannya hari ini berkata ia bertujuan untuk memperluaskan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Sarawak di kawasan Long Napir.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada artikel terbitan akhbar atas talian tempatan Bahasa Inggeris pada 16 Disember 2018 tentang kelewatan pembinaan Klinik Kesihatan khusus untuk masyarakat Penan di Long Napir, Limbang.

Pelaksanaan pembinaan klinik kesihatan katanya diletak di bawah pengurusan pihak Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKRS) sebagai agensi pelaksana.

“Pihak JKRS juga telah melantik kontraktor yang dibuat melalui tender terbuka.

“Manakala, tempoh pembinaan klinik kesihatan ini telah dimulakan pada tarikh pemilikan tapak iaitu pada 3 Oktober 2016 dan dijangka tarikh siap asal adalah pada 2 Januari 2018.

“Bagaimanapun, pihak kontraktor tidak dapat menyiapkan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan di mana punca kelewatan yang didapati adalah disebabkan faktor pengurusan projek yang lemah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan itu.

JKR Sarawak katanya telah mengambil tindakan penamatan kontraktor tersebut pada 12 Jun 2018.

Justeru, JKRS kini sedang dalam proses menyiapkan dokumen tender bagi tujuan penawaran semula tender projek Klinik Kesihatan untuk masyarakat Penan di Long Napir, Limbang. –Sarawakvoice

Gambar hiasan

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru