KUCHING: Kempen Piala FA Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA) bagi merebut Piala Pusingan Yang Berhormat, John Ilus 2018 berlangsung Sabtu ini, 22 Disember.

Ia sekali gus menyaksikan pertembungan hebat dua gergasi iaitu Yayasn Sarawak dan KSRUS FC.

Perlawanan akhir membabitkan kedua-dua pasukan itu berlangsung di Kompleks Sukan Serian bermula 3.30 petang.

Di atas kertas tampak sukar untuk meramal pasukan yang berpeluang menjulang mahkota juara mengambil kira prestasi hebat dipamerkan ketika saingan peringkat separuh akhir.

Namun, yang pasti perlawanan menarik dan sengit bakal disaji pemain kedua-dua pasukan berkenaan kelak.

CAPTION: PILIHAN JUARA… Barisan pemain pasukan Yayasan Sarawak.

Presiden SFA, Phillip Jabu memberitahu, pihaknya menjangka aksi hebat bakal diterjah pemain dari kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir kelak.

“Sama-sama kita saksikan perlawanan akhir membabitkan kedua-dua pasukan itu Sabtu ini,” katanya.

“Saya melihat peluang untuk menjulang kejuaraan adalah seimbang dan segalanya terpulang kepada pemain masing-masing,” ujar Phillip.

Yayasan Sarawak yang diperkuatkan beberapa bekas pemain Sarawak seperti Ahmad Bujang dan Paul Sambang berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan Marr SC dalam separuh akhir.

Manakala KSRUS FC menyingkirkan BFT FC dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus akan hadir menyaksikan perlawanan tersebut seterusnya menyampaikan hadiah kepada pasukan berjaya.

Di samping turut diberi penghormatan menyampaikan hadiah untuk pasukan yang berjaya dari Liga Serian LSC 2018. –Sarawakvoice