Tuesday, September 27, 2022

Warga emas Indonesia maut akibat rabies di Kuching

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang warga Indonesia meninggal dunia akibat wabak rabies di hospital swasta di Kuching, Sarawak semalam dan pesakit disahkan tidak dijangkiti di dalam negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita berusia 69 tahun itu digigit anjing peliharaannya pada bahagian kaki kirinya, September lepas di Indonesia dan mendapat rawatan di sana.

“Namun keadaan pesakit bertambah teruk dan kemudian dibawa ke hospital swasta di Kuching dan dirawat di Unit Rawatan Rapi.

“Malangnya beliau meninggal dunia 17 Disember dan keputusan ujian makmal yang diterima pada 18 Disember adalah positif rabies,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Semalam, portal Utusan Borneo Online melaporkan seorang mangsa rabies Indonesia mati di Kuching setelah digigit anjing peliharaanya kira-kira tiga bulan lepas.

Dr Noor Hisham berkata kes disahkan rabies ini tidak termasuk dalam statistik kes di Malaysia kerana pesakit digigit di Indonesia.

Justeru, katanya kes rabies di Sarawak sejak pengisytiharan wabak tersebut pada 1 Julai 2017 kekal 16 orang termasuk 15 kematian dengan kes terakhir adalah pada 10 Disember lepas.

Tambahnya notifikasi kes ini dibuat kepada Kementerian Kesihatan Indonesia melalui International Health Regulations (IHR) Focal Point Malaysia-Indonesia dan KKM akan bekerjasama dengan​​​​​​ Kerajaan Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa Indonesia untuk mengawal rabies dalam kalangan anjing khususnya di sempadan.–BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru