Monday, August 8, 2022

Agama didik kita agar hidup dalam harmoni – Naroden

Secara Rawak

SIMUNJAN: Tiada satu pun agama di dunia ini yang mendidik para penganutnya untuk membenci atau memusuhi sesama manusia.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana E-Dagang Datuk Haji Naroden Majais berkata, malah setiap agama memberi penekanan agar penganutnya hidup dalam keharmonian dan menghormati sesama sendiri.

“Agama bukanlah sesuatu perkara untuk memecah belahkan sesama penduduk khususnya di kawasan Gedong malah ianya mengajar kita untuk berbuat baik dan hormat menghormati diantara satu dengan lain.”

“Biarpun berlainan kepercayaan, setiap agama mempunyai satu persamaan iaitu menyaran penganutnya agar menghargai keamanan dan kedamaian.”

“Kita, khususnya di Sarawak amat bersyukur kerana toleransi kita sesama sendiri adalah amat tinggi biarpun terdapat pelbagai kaum dan etnik dari pelbagai agama dan ini bukan sahaja membolehkan untuk kita hidup dalam keadaan harmoni malah, boleh sama-sama meraikan apa jua perayaan,” katanya lagi.

Naroden, yang juga merupakan ADUN Gedong berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pra Krismas di Rumah Panjang TR Roport di Kampung Munggu Sabun, Ulu Simunjan semalam.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar menghargai keharmonian yang sedia ada dengan sentiasa menyemai rasa hormat sesama sendiri supaya suasana kekeluargaan di Sarawak ini terus berkekalan.

“Selamat Hari Natal dan semoga dihari Natal ini kita bersama-sama memperolehi kesihatan, hidup aman damai hendakNya,” tambahnya lagi.

Pada majlis yang sama, Naroden turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM60,000 kepada 20 gereja kawasan Ulu Simunjan untuk menjalani aktiviti keagamaan mereka. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru