KUCHING: Sarawak FA mengumumkan senarai 26 pemain yang akan menyarung jersi skuad Bujang Senang bagi mengharungi kempen Liga Premier 2019.

Menariknya, penyerang muda, Shreen Tambi dan Nur Shamie Iszuan kembali menyarung jersi Sarawak selepas beraksi bersama PJ Rangers musim lalu.

Selain itu skuad kali ini turut menyenaraikan bekas pemain import Sarawak, Ronald Hikspoor.

Beliau adalah satu-satunya tonggak asing yang dibariskan bersama pemain tempatan.

Antara nama lain yang akan memperkuatkan jentera Bujang Senang, Bobby Gonzales, Benedict Martin, Awang Kamarudin dan Daglish Papin.

Sebelum ini, Sarawak FA telah mengadakan sesi pemilihan pemain untuk diserap ke dalam skuad Ngap Sayot.

Senarai pemain terpilih telah dipersetujui oleh Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais setelah dinasihatkan oleh barisan kejurulatihan skuad Liga Premier Sarawak 2019.

Kesemua pemain terpilih akan menyertai kem latihan yang akan bermula pada 20 Disember 2019 ini.

Terdapat beberapa pemain yang akan mengikuti sesi latihan untuk di uji bagi memperkuatkan skuad Sarawak 2019.

Dalam perkembangan sama, penyerang kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talaha juga dikaitkan dengan Sarawak FA bagi musim baharu ini.

Namun setakat ini ia sekadar khabar angin yang bertiup kencang selepas pemain yang dikenali dengan panggilan Mat Yo membantu Malaysia layak ke final Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini.

Malah, Datuk Posa Majais yang juga pengurus pasukan Harimau Malaya dikatakan telah menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 32 tahun itu. –Sarawakvoice