Pada tanggal 8 Disember 2018, sekali lagi Jabatan Muzium Sarawak telah menganjurkan aktiviti untuk para pelawat yang dikenali sebagai Eksplorasi Mencari Harta Qarun. Aktiviti yang diadakan di Muzium Islam Sarawak itu melibatkan para pelajar sekolah rendah bersama ahli keluarga mereka yang terdiri seramai tiga orang.

Sebelum itu, Jabatan Muzium Sarawak turut menganjurkan beberapa aktiviti seperti Bengkel dan Peraduan Seni Khat pada 24 November dan 1 Disember 2018. Selain itu juga, aktiviti sampingan lain yang turut diadakan ialah kuiz dan Pelawat Bertuah yang masih berlangsung sehingga kini.

Eksplorasi Mencari Harta Qarun merupakan salah satu aktiviti mengasah minda pelajar-pelajar dan keluarga mereka dalam misi mencari jawapan yang tepat dalam masa yang telah ditetapkan. Soalan-soalan yang dikemukakan adalah berdasarkan kepada pameran sementara yang dipamerkan serta artifak-artifak yang terdapat di Muzium Islam Sarawak.

Juara Eksplorasi pada kali ini telah dimenangi oleh kumpulan Puan Norhayatie binti Ahmad, tempat kedua dari kumpulan Minnie Nona yang diketuai oleh Cik Medina manakala tempat ketiga telah dimenangi oleh kumpulan RD Garden yang diketuai oleh Puan Roziah binti Dillah.

Penyertaan aktiviti eksplorasi seperti ini mampu meningkatkan pengetahuan orang ramai terutama para pelajar tentang sejarah dan budaya masyarakat Islam di seluruh dunia amnya dan masyarakat Islam di Sarawak khasnya.

Bersempena sambutan itu juga, Jabatan Muzium Sarawak telah mengadakan pameran sementara berjudul Sejarah Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada 26 November 2018 bertempat di Muzium Islam Sarawak.

Pameran yang berlangsung sehingga penghujung tahun 2018 ini mempamerkan sejarah kehidupan Rasulullah sewaktu kecil, dewasa, sehingga diangkat sebagai Rasul, perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam sehingga kewafatan Baginda dan beberapa sifat terpuji Baginda yang harus dicontohi. Selain itu juga, turut dipamerkan ialah replika pedang Zul Faqar yang merupakan sebilah pedang yang istimewa buat Rasulullah.

Hasil daripada pameran ini juga, Muzium Islam Sarawak telah menerima banyak kunjungan daripada orang ramai dan Jabatan Muzium Sarawak turut menawarkan hadiah istimewa kepada pengunjung yang bertuah.

Untuk Pelawat Bertuah yang ke-1000 telah dimenangi oleh Encik Hassan bin Kawi dari Kampung Paya Mebi, Kuching. Jabatan Muzium Sarawak masih menunggu pelawat-pelawat bertuah seterusnya yang berkunjung ke Muzium Islam Sarawak.

Objektif pameran serta aktiviti-aktiviti sampingan yang diadakan adalah untuk mengenali Rasulullah secara lebih dekat, Memperingati perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan Islam, Untuk menanamkan rasa cinta terhadap Rasulullah, Untuk memberi maklumat kepada para pengunjung tentang perkara-perkara sunnah yang boleh dipraktikkan bagi amalan diri sendiri, dan Menarik orang ramai untuk mengunjungi muzium dengan lebih kerap. –Sarawakvoice

Tempat ketiga
Tempat Kedua
Pelawat bertuah
Johan