Tuesday, August 16, 2022

Tun Mahathir pengerusikan mesyuarat semak Perjanjian Malaysia

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (Pemandu) Untuk Menyemak Perjanjian Malaysia 1963 telah diadakan buat julung kalinya di Pejabat Perdana Menteri pada pagi tadi .

Menurut kenyataan akhbar yang diterima, Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Hj. Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Hj. Openg .

Ahli kabinet Persekutuan dan wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak juga antara mereka yang hadir ke acara bersejarah ini.

Tujuan utama mesyuarat itu ialah untuk menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 . Ini adalah untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Malaysia dan juga menjadi asas kukuh untuk mengeratkan hubungan antara ketiga-tiga wilayah.

Jawatankuasa ini akan mengesyor kepada Kerajaan tentang perkara berhubung dengan pelaksanaan hak-hak dan autonomi Sabah dan Sarawak.

Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara-perkara yang terkandung dalam “Chapter 3, Annexes A and B of the Report of the Inter-Governmental Committee, 1962”.

Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat penyelarasan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun ini.

Mesyuarat-mesyuarat tersebut bagi mendapatkan persetujuan awal berhubung senarai isu-isu serta tuntutan yang ingin dikemukakan oleh Kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung Perjanjian Malaysia 1963.

Menteri kabinet persekutuan yang hadir adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kerjaraya, Baru Bian, Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong.

Manakala rombongan Sabah termasuk Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin dan mantan Peguam Besar Sabah, Datuk Stephen Foo dan bagi Sarawak, termasuk Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan & Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah binti Sayeed Aman Ghazali serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Gerawat Gala.

Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong dan pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi juga hadir pada mesyuarat pagi tadi.

Jawatankuasa ini ditubuhkan pada Oktober lepas bagi membincangkan isu Perjanjian Malaysia.

Mengembalikan status Sabah dan Sarawak merupakan salah satu janji 100 hari untuk manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lepas. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru