SYDNEY: Perdana Menteri Australia Scott Morrison pada Sabtu mengumumkan Australia memutuskan secara rasmi mengakui Yerusalem atau Baitulmaqdis Barat sebagai ibu kota Israel.

Pada masa sama, menurut ABC News, Morrison berkata Australia sedia mengakui Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin hanya setelah ada penyelesaian perdamaian antara Israel-Palestin.

Australia bagaimanapun belum bersedia memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis itu ketika Palestin berjanji memboikotnya jika ia melakukan hal itu.

Australia dilapor mendirikan pejabat pertahanan dan perdagangan di Baitulmaqdis dan mencari lokasi tepat untuk kedutaannya nanti.

Meskipun, pendirian Sydney ini dilihat “kontroversi” oleh jirannya seperti Malaysia dan Indonesia sehingga Jakarta menunda menandatangani kesepakatan perdagangannya dengan Australia — Israel pula menzahirkan rasa tidak puas hatinya.

Menteri Kerjasama Wilayah Israel Tzachi Hanegbi menyebut beliau kecewa mendengar pendirian Australia itu meski menganggap Australia sebagai “teman akrab”.

Ternyata Israel, mahu Australia berpendirian agar mengaku keseluruhan Baitulmaqdis sebagai milik Israel dan bukan hanya bahagian baratnya.

Manakala, lanjutan isu ini, Indonesia mengajak Australia mengakui Palestin sebagai negara merdeka dan bekerjasama mencapai perdamaian Palestin-Israel berdasarkan prinsip solusi dua negara.

Kementerian Luar Republik Indonesia dalam kenyataan media berkata, Indonesia mencatat kenyataan Australia yang mengatakan tidak akan memindah kedutaannya ke Baitulmaqdis.

Indonesia juga mencatat pendirian Australia untuk mendukung prinsip solusi dua negara dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin.

Sementara bagi Malaysia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berkata Baitulmuqaddis harus kekal seperti sedia ada dan mana-mana negara tidak berhak memutuskan ia harus menjadi ibu negara Israel atau dibahagikan.

“Australia juga mahu membahagikan Baitulmuqaddis kepada Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu negara Israel dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota Palestin… semua ini hanya akan meningkatkan kemarahan,” kata Mahathir.

Beliau berkata Baitulmaqdis sentiasa berada di bawah Palestin dan mempersoalkan mengapa mereka mengambil usaha membahagikan kota suci itu.

“Mereka tidak berhak… ia bukan milik mereka,” kata Mahathir. –Sarawakvoice