Sunday, November 27, 2022

Rumah ADUN Piasau dipecah masuk pencuri; barang berharga dilarikan

Secara Rawak

MIRI: ‘Mujur tidak ada orang berada di rumah, kalau tidak, saya tidak tahu apa yang akan terjadi’.

Demikian luahan ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting selepas kediamannya di Tanjong Lobang di sini dipecah masuk pencuri dalam kejadian Ahad lalu.

Menurut beliau, sepatutnya anak lelakinya yang berusia 29 tahun tinggal bersendirian di rumah.

Namun, katanya semasa kejadian itu anak lelakinya bermalam di rumah rakan.

“Mujurlah kejadian berlaku semasa anak ketiga saya tiada di rumah, kalau ada, mungkin dia akan diapa-apakan oleh penjenayah,” katanya dihubungi di sini.

Bagaimanapun kejadian itu hanya disedari anaknya semasa pergi ke rumah itu sekitar jam 7.30 pagi.

Setelah diperiksa, keadaan dalam rumah berselerak dan beberapa barang berharga telah dilarikan.

Menurut Ting, semasa insiden itu berlaku, beliau tidak berada di rumah berkenaan kerana menghadiri mesyuarat di Kuching.

“Saya terkejut dengan apa yang berlaku, kerana berada di Kuching…saya cuma mengetahui kejadian ini selepas dihubungi kakak saya,” katanya.

Ting berkata, penjenayah dipercayai masuk ke dalam rumah melalui tingkap yang diumpil di bahagian dapur dan jeriji tingkap turut dipotong sebelum melarikan beberapa barangan.

Antara barang yang hilang ialah dua unit televisyen, kamera digital dan perakam kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru