RM100,000 untuk PKMS bangunkan tanah persatuan Jalan Muhibah

0
6

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam meluluskan dana permulaan untuk Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) sejumlah RM100,000 bagi membangunkan tanah persatuan seluas dua hektar di Jalan Muhibah.

Menurut Abang Johari, beliau sentiasa menyokong apa jua aktiviti yang diadakan oleh PKMS bagi menghidupkan kembali budaya zikir marhaban terhadap masyarakat kini.

“Saya melihat amalan zikir marhaban ini tidak lagi diamalkan oleh masyarakat sekarang disebabkan oleh kekangan masa.

“Selain itu, majlis khatam al-Quran juga tidak lagi diamalkan dalam majlis perkahwinan pada hari ini.

“Dengan perubahan zaman sekarang, budaya yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Islam suatu ketika dahulu semakin dilupakan,” ujarnya ketika menghadiri Majlis Penutupan

Pertandingan Marhaban Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak pada Ahad.

Katanya,melalui budaya zikir ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara masyarakat.

“Jika kita lihat, kebanyakan anak muda pada hari ini tidak pandai membaca jawi kerana mereka tidak didedahkan dengan budaya zikir,” ujarnya.

Sebanyak 30 kumpulan peserta dari bahagian Kuching, Simunjan dan Samarahan yang terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori lelaki dan kategori wanita melibatkan diri dalam Pertandingan Marhaban ini.

Johan Marhaban bagi kategori lelaki dimenangi oleh Kumpulan Suara Kilauan Majma dari Kuching, manakala johan bagi kategori wanita dimenangi oleh Kumpulan Suara Wawasan Semariang Batu.

 

Johan masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 beserta kitab dan piala pusingan.

Manakala, bagi tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dan RM750.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Timbalan Yang Dipertua PKMS, Dr Wan Ali Tuanku Madhi. –Sarawakvoice