MIRI: Tindakan pantas beberapa jiran berdekatan berjaya menyelamatkan rumah daripada terbakar dalam kejadian di Hiltop Garden, petang kelmarin.

Dalam kejadian sekitar 6.30 petang itu, jiran membantu memadamkan api bahagian dapur rumah berkenaan menggunakan alat pemadam api sementara menunggu pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jimmy Suhaili bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan 6.30 petang.

Jimmy berkata, setibanya di lokasi kejadian, api sudah berjaya dipadamkan jiran menggunakan alat pemadam api serta menutup injap tong gas silinder jenis LPG tersebut.

“Tiada tindakan operasi pemadaman dijalankan dan kita hanya membuat pemantauan bagi memastikan keadaan benar selamat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut beliau, kebakaran itu berlaku dipercayai berpunca apabila hos gas memasak tertindih oleh periuk pengukus dan disambar api ketika memasak.

Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

“Operasi tamat 7 malam setelah selesai membuat pemantauan,” katanya. –Sarawakvoice

TERBAKAR… Keadaan dapur selepas hos gas memasak terbakar dalam kejadian di sebuah rumah di Hiltop Garden di Miri, petang kelmarin.