KUCHING: Hasil tambahan daripada cukai jualan yang dikenakan kerajaan Sarawak akan digunakan untuk terus memacu pembangunan di negeri ini, kata Ketua Menteri.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hasil cukai yang dikenakan mulai 1 Januari depan akan turut digunakan untuk memajukan kawasan pesisiran yang masih memerlukan kemudahan asas yang amat diperlukan oleh penduduk.

Kerajaan Sarawak, katanya, akan meneruskan projek jalan raya di pesisiran yang menghubungkan Lundu, Simunjan, hinggalah ke Bintulu.

“Ini adalah demi faedah semua rakyat Sarawak, terutama di kawasan pesisiran,” katanya dalam ucapan di Majlis Penutupan Pertandingan Marhaban anjuran Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di sini, semalam.

Sejak menjadi Ketua Menteri, Abang Johari menumpukan perhatian kepada kawasan pedalaman dan pesisiran bagi memastikan bukan sahaja kemudahan bagi penduduk di kawasan terbabit dipenuhi, tetapi memastikan jurang pembangunan dengan kawasan bandar dapat dirapatkan.

Kata beliau, jika jalan raya pesisiran sudah siap ini akan memberi kesan limpahan sosioekonomi kepada penduduk, termasuk dapat meningkatkan pendapatan penduduk, termasuk petani dan nelayan.

Beliau katanya, berazam untuk menangani masalah dan isu berkaitan dengan bekalan api dan air bersih di seluruh Saerawak.

Untuk rekod, bagi Bajet Sarawak 2019, sebanyak RM11.9 bilion diperuntukkan – jumlah tertinggi dalam sejarah, membuktikan komitmen beliau untuk menyelesaikan isu berkenaan. –Sarawakvoice

Foto: Page Sarawakku