Sunday, June 26, 2022

Anak Tok Nan, Azizul Annuar dilantik Presiden WTF M’sia pertama dari S’wak

Secara Rawak

KUCHING: Anak bongsu bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, Azizul Annuar Adenan melakar sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Presiden Persekutuan Taekwondo Dunia (WTF) Malaysia 2018.

Azizul yang baru berusia 27 tahun memenangi jawatan tersebut setelah meraih 34 undi, mengalahkan dua pencabarnya dari Kuala Lumpur dan Selangor dalam pemilihan di ibu kota semalam.

Azizul merupakan anak Sarawak pertama menjawat jawatan tertinggi itu dan sebagai presiden termuda dalam sejarah WTF Malaysia.

“Saya tak menjangka saya boleh memenangi persaingan tiga penjuru… namun keyakinan itu tetap ada,” kata Azizul ketika dihubungi Utusan Sarawak pada 7.44 malam tadi.

“Sebagai presiden baharu harapan utama saya ialah memastikan taekwondo kembali berada dalam sukan teras… maklumlah ketika ini taekwondo digugurkan daripada sukan utama itu,” katanya.

“Untuk Sarawak pula, saya berharap kita akan muncul sebagai kuasa besar dalam taekwondo kerana kita mempunyai ramai bakat hebat,” ujar anak bongsu daripada lima adik-beradik itu.

Azizul pemegang tali pinggang hitam tahap Tiga Dan mula menceburkan diri dalam sukan lasak itu sejak berusia enam tahun lagi.

Beliau mendapat dorongan dan sokongan daripada ibu tersayang, Datuk Amar Jamilah Anu yang juga ADUN Tanjong Datu.

Menurut Jamilah, Azizul meminati taekwondo sejak berusia lima tahun lagi.

“Sebagai ibu, saya sentiasa memberi galakan dan semangat kepadanya… malah Allahyarham Tok Nan juga sentiasa memberikan inspirasi kepadanya,” ujar Jamilah.

“Tok Nan pernah memberikan kata-kata perangsang kepada Azizul… kalau nak buat sesuatu buatlah sehabis baik, jangan buat sambil lewa,” kata Jamilah mengimbas kembali kata-kata keramat arwah suaminya.

Azizul yang turut meminati sukan golf mendapat tunjuk ajar daripada tuan guru Tan Check Joon yang mengembangkan bakatnya dalam sukan taekwondo sehingga mencapai tahap sekarang ini. –Sarawakvoice

TAHNIAH… Azizul (kanan) bersama Ahli Lembaga Eksekutif WTF Malaysia, Tan Check Joon yang juga Pengerusi Teknikal Persatuan Taekwondo Negeri WTF Sarawak. Check Joon merupakan guru kepada Azizul sejak usia enam tahun lagi.

MANTAP… Azizul (enam dari kanan) bersama barisan baharu WTF Malaysia 2018.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru