SARIKEI: Sepasang suami isteri melecur selepas rumah mereka musnah dalm kebakaran di Kilometer 19, Jalan Simpang Pakan, tengah malam semalam.

Suami, 76, melecur di bahagian tangan kanan, bahagian belakang dan jari kaki kiri, manakala isterinya, 61, melecur di bahagian tapak kaki.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.
Kejadian berlaku sekitar 12 tengah malam itu turut memusnahkan kereta Produa Kancil milik pasangan terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Suna Kaha berkata, ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah tidak kekal satu tingkat dijilat api.

“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 300 kaki 2 nozel sumber air dari pili bomba berdekatan.

RANAP… Pasukan bomba sedang menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran sebuah rumah kediaman di Kilometer 19, Jalan Simpang Pakan tengah malam semalam.

“Pihak bomba mengambil masa setengah jam untuk mengawal dan seterusnya memadam kebakaran tersebut.

“Setelah selesai dan dan memastikan tidak berlaku kebakaran berulang pasukan balik ke balai,” jelasnya.

Difahamkan, semasa kejadian pasangan suami isteri terbabit sedang tidur dan terbangun selepas terasa panas.

Mereka keluar dan ternampak api semakin tinggi di bahagian dapur.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -Sarawakvoice