KUCHING: Zamalah Wartawan Malaysia 2018 anjuran Malaysia Press Institute(MPI) telah mencapai matlamat asal program.

Program yang berakhir semalam telah mencapai matlamat untuk semangat kesetiakawanan dan menyatupadukan kesemua wartawan daripada seluruh Malaysia seperti yang dikatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya , Datuk Chamil Wariya sewaktu Majlis Perasmiannya pada 3 Disember lalu.

Menurut salah seorang peserta, Sam Chua daripada The Borneo Post memberikan komen mengenai program ini banyak memberikan manfaat kepadanya.

“Saya dapat mempelajari sesuatu yang baru daripada para penceramah disamping dapat bertukar pengalaman dan pendapat dengan peserta yang telah lama dalam bidang ini, ” kata Chua kepada SarawakVoice.

Kumara daripada Malaysia Gazette berkata kepada SarawakVoice, ” Disamping saya dapat belajar dengan penceramah terbaik, saya juga dapat mempelajari keunikan dan kepelbagaian kaum di Negeri Sarawak.”

Tambah Kumara, “saya juga dapat mempelajari semangat kesetiakawanan itu penting dalam persahabatan . Walaupun kami daripada latar belakang berbeza, kami tetap bersatu terutamanya ketika kami berada di lokasi.”

Program yang bermula pada 3 Disember hingga 14 Disember menyaksikan seramai 25 orang wartawan daripada seluruh Malaysia berkampung di Kuching untuk menghadiri kursus itu .

Program Zamalah Wartawan Malaysia yang mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Sarawak telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Tiga venue yang dipilih oleh penganjur iaitu Merdeka Palace Hotel & Suites , Kuching , Aiman Resort , Batang Ai, dan Damai Beach Resort, Santubong.

Sepanjang tempoh dua minggu, para peserta didedahkan dengan ilmu kewartawanan disamping juga sesi lawatan ke Dewan Undangan Negeri Sarawak, Menara Sarawak Energy, lawatan ke Batang Ai serta Lawatan Ke Kampung Budaya Sarawak juga diadakan bagi mendedahkan kepada para peserta serba sedikit pembangunan dan kepelbagaian kaum di Sarawak.

Seramai 11 orang penceramah yang berlainan bidang telah dilantik bagi mengendalikan kursus tersebut bagi memberikan ceramah mengikut kepakaran masing-masing.

Antaranya ialah Profesor Datuk Salleh Buang, Datuk Ahmad Zaini, Profesor Madya Dr Jeniri Amir, dan beberapa orang lagi penceramah.

Program Zamalah ini juga telah dimoderatorkan oleh Dato Baharom Mahusin.

Zamalah kali ini menyaksikan Nurul Ekhwan Haque daripada New Strait Times Press dan Fenny Silong daripada Utusan Sarawak telah dipilih sebagai peserta terbaik Zamalah kali ini. –Sarawakvoice