SANTUBONG: Wartawan mempunyai naluri berkumpulan kerana sering bertemu ketika membuat liputan dalam pelbagai acara.

Moderator Kursus Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Baharin Mahusin berkata, ekoran itu hubungan antara wartawan dari pelbagai agensi amat rapat.

“Sebagai wartawan, kita sering berjumpa hampir setiap hari ketika melakukan tugas dalam membuat liputan.

“Ini yang membuatkan kita seolah-olah mempunyai hubungan kekeluargaan di serata tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ulasan pada Penutupan Zamalah Wartawan Malaysia di Damai Beach Resort di sini, semalam.

TERBAIK … Francis Chan menyampaikan Anugerah Peserta Wanita Terbaik Zamalah Wartawan Malaysia 2018 kepada wartawan Utusan Sarawak, Fenny Silong sambil diperhatikan oleh Datuk Baharom Mahusin di Santubong semalam.

Zamalah Wartawan Malaysia anjuran MPI mengumpulkan 25 pengamal media dari seluruh negara ‘berkampung’ di Bumi Kenyalang selama 12 hari bermula 3 Disember lalu.

Terdahulu, majlis Perasmian Zamalah Wartawan Malaysia disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel terkemuka.

Sementara itu, Penghulu Zamalah Wartawan Malaysia 2018, Mohamad Abdul Rahman Adenan berkata, semasa menjalani kursus terbabit, banyak kemahiran baharu ditimba.

“Kita diberi pendedahan untuk menghasilkan video popular berkaitan Kampung Budaya Sarawak dan dimuat naik ke dalam media sosial iaitu Youtube.

“Kemahiran ini amat penting dalam melaporkan berita dengan lebih moden ekoran anjakan media sosial,” jelasnya.

Tegasnya, kursus yang mendapat sokongan padu dari Kerajaan Negeri ini merupakan satu platform kepada pengamal media mengetahui lebih lanjut mengenai pembangunan di Sarawak.

“Ini selari dengan saranan Ketua Menteri agar kita (pengamal media) bergerak ke arah digital.
“Oleh itu, saya sangat gembira kerana pengisian kursus ini amat baik di samping penceramah yang profesional,” ujarnya.

Antara penceramah Zamalah Wartawan Malaysia 2018 ialah Pensyarah Tamu Universiti Teknologi Malaysia Profesor Datuk Salleh Buang yang membincangkan topik Media dan Undang-undang serta Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Madya Dr. Jeniri Amir apabila menyampaikan tajuk Penulisan Rencana dan Naratif.

Rombongan Zamalah Wartawan Malaysia pula dibawa melawat ke Unit Perancangan Negeri di Wisma Bapa Malaysia dan Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu oleh Sarawak Energy Berhad (SEB).

Turut diadakan ialah Anugerah Peserta Terbaik Kategori Lelaki yang dimenangi oleh wartawan Harian Metro Nurul Ekhwan Haque.

Manakala, Peserta Terbaik Kategori Wanita disandang oleh wartawan Utusan Sarawak/ Minggu Sarawak, Fenny Silong.

Kursus terbabit juga dihadiri oleh seorang lagi wartawan Utusan Sarawak/ Minggu Sarawak, Osman Razali.

Hadiah disampaikan oleh Pengurus Editor Kanan Borneo Post/ Utusan Borneo Francis Chan kepada penerima. –Sarawakvoice