PUTRAJAYA: Bekas Menteri Penerangan yang juga Ketua Editor Utusan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.

Zam menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6.20 petang tadi di Hospital Serdang.

Allahyarham sebelum dilaporkan mengalami kegagalan fungsi jantung, dan dirawat di Hospital Putrajaya dalam keadaan koma selama hampir sebulan.

Lahir di Kota Kuala Muda, Kedah, Zam merupakan kacukan Melayu dan India.

Beliau menerima pendidikan awal di Maktab Mahmud, Alor Star sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan kewartawanan dari Institut Kewartawanan Berlin pada 1969.

Pada 1981, beliau dianugerahkan Professional Journalist Fellowship daripada University of Michigan, Amerika Syarikat.

Zam meninggalkan balu Datin Zaiton Zainol Abidin dan empat anak.

Antara buku yang dihasilkan wartawan hebat ini termasuklah Yang Pertama dan Terakhir; Malaysia-British Relations in London; Mahathir Di Sebalik Tabir, dan Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot. –Sarawakvoice

Foto: Zamkata