Kulasegaran jumpa KM S’wak bincang isu berkaitan pekerja, undang-undang buruh

0
3

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak menerima kunjungan rombongan Kementerian Sumber Manusia diketuai menterinya M. Kulasegaran bagi menyelesaikan isu berkaitan pekerja dan kerjasama Kerajaan Negeri melalui persetujuan antara kedua-dua pihak.

Dalam lawatan kerja dua hari di Sarawak, M. Kulasegaran menyatakan komitmen beliau menyelesaikan isu tersebut serta mengambil kira usul bernas.

Sehubungan itu, satu jawatankuasa teknikal bakal ditubuhkan antara Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan Negeri Sarawak bagi membincangkan semua isu berkaitan undang-undang buruh yang dirancangkan untuk dipinda.

Menurut Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran, penubuhan jawatankuasa tersebut dicadangkan sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada pertemuan tersebut.

Katanya, kementeriannya kini dalam proses meminda sembilan akta berkaitan undang-undang buruh termasuk Ordinan Buruh Sarawak

Selain itu, tambahnya, Abang Johari juga mencadangkan kepada kementeriannya supaya Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dimasukkan dalam Majlis Perundingan Gaji Negara bagi membolehkan SBF menyumbang idea dan pandangan berhubung gaji minimum.

Menyentuh lawatannya ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan siang tadi, katanya, Abang Johari juga mencadangkan agar mewujudkan kursus pada sebelah petang untuk kumpulan pekerja bagi mengasah serta meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Justeru, pihak ILP akan mempertimbang cadangan tersebut dan beliau percaya langkah sebegini akan dapat meningkatkan lagi mutu kerja. –Sarawakvoice

Foto: TVSarawak.com