Monday, June 27, 2022

Juruaudit akaun mangsa terkini Macau Scam di Miri

Secara Rawak

MIRI: Seorang juruaudit akaun hilang RM4,950 sekelip mata selepas menjadi mangsa Macau Scam di sini, pada 10 Disember lalu.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, mangsa, seorang wanita Cina berusia 28 tahun telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenal diri sebagai Tuan Mazlan Rahman, pegawai Mahkamah Seksyen Shah Alam.

“Suspek memaklumkan bahawa kenderaan milik mangsa yang disewa kepada individu lain telah terlibat dalam insiden langgar lari hingga menyebabkan kematian.

“Mangsa kemudian telah dihubungi seorang individu lain yang memperkenal diri sebagai Sarjan Lau Kin Ming dan memberitahu bahawa mangsa mempunyai 23 akaun bank atas namanya, dan telah terlibat dalam kegiatan haram.

Selepas itu katanya, mangsa dihubungi pula oleh seorang lagi lelaki yang memperkenal diri sebagai Inspektor Khoo dan meminta mangsa untuk memasukkan wang sebanyak RM4,950 bagi tujuan semakan akaun banknya di Bank Negara Malaysia.

“Pada hari yang sama, mangsa memindahkan wang berjumlah RM4,950 melalui mesin ATM ke satu akaun bank yang telah diberikan lelaki itu.

“Selepas transaksi pemindahan wang tersebut, mangsa tidak lagi dihubungi oleh pihak berkenaan, dan setelah itu menyedari dirinya telah ditipu, sebelum membuat laporan polis,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru