MANILA: Seorang anggota tentera dan tiga militan Abu Sayyaf terbunuh dalam satu pertempuran di Sulu, sebuah wilayah pulau di selatan Filipina pada awal pagi Khamis, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai tentera.

Jurucakap Pusat Pemerintah Tentera Barat Mindanao (Westmincom), Leftenan Kolonel Gerry Besana, berkata pertempuran sengit itu berlaku pada pukul 2.25 pagi di bandar pesisir Patikul dalam wilayah Sulu apabila pasukan tentera berjaya mengesan kira-kira 50 militan Abu Sayyaf.

Beliau mengesahkan bahawa seorang tentera terbunuh manakala dua lagi cedera dalam pertempuran itu.

Mangsa yang cedera segera dikejarkan ke hospital tentera di Kem Teodulfo Bautista di Kampung Busbus, Jolo, ibu kota Sulu.

Tiga pejuang Abu Sayyaf turut terbunuh dalam pertempuran itu, kata Besana.

Beliau berkata ketika kejadian, tentera kerajaan sedang melakukan serangan amfibia bagi memastikan laporan bahawa tiga nelayan Indonesia yang ditawan minggu lepas di perairan Sabah telah dibawa ke Sulu.

Abu Sayyaf adalah kumpulan militan radikal kecil yang beroperasi di pinggir barat Pulau Mindanao yang terletak di selatan Filipina.

Mereka telah menjadikan wilayah pulau Sulu dan Basilan sebagai tempat persembunyian.

Kumpulan itu, yang terkenal kerana sering melakukan pembunuhan, penculikan untuk tebusan dan beberapa siri pengeboman di selatan Filipina, dilaporkan sedang menahan sekurang-kurangnya tiga rakyat asing serta tiga rakyat Filipina sebagai tebusan.– BERNAMA

Gambar fail