214 kanak-kanak terima hadiah, wang tunai daripada SEDC

0
14

KUCHING: Seramai 116 kanak-kanak dari Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (PERKATA) dan 98 kanak-kanak dari Persatuan Autistik Kuching telah menerima sumbangan berbentuk hadiah dan wang tunai daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) di bawah program Love-in-a-box.

Menurut Pengerusi SEDC Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, ini merupakan program tahunan anjuran SEDC di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Antara program lain yang telah diadakan untuk tahun ini adalah Program Majlis Belaian Kasih, Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak dari Kompleks PERYATIM Sarawak, Majlis Ramah Tamah Bersama Murid-Murid Sekolah-Sekolah Rendah Daerah Kuching serta acara Gotong-Royong bersama.

“Objektif program-program tersebut adalah untuk menyebarkan semangat perkongsian dan sifat memberi antara ahli-ahli persatuan.

“Selain itu, ianya juga dapat membantu meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan bagi meraikan sambutan Perayaan Krismas yang bakal tiba,”ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap kanak-kanak dari dua persatuan ini akan menerima hadiah awal sempena menyambut Hari Krismas dan wang tunai berjumlah RM50 setiap seorang.

“Diharapkan dengan adanya pemberian sempena menyambut Perayaan Krismas ini akan dapat menggembirakan kanak-kanak dari PERKATA dan Persatuan Autistik Kuching.

“SEDC Sarawak telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif berkaitan komuniti dengan matlamat untuk meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat,”katanya.

Sehubungan itu,pemberian inisiatif tersebut juga selaras dengan visi dan misi SEDC untuk menjadi salah satu agensi di bawah Kerajaan Negeri Sarawak untuk terus melaksanakan CSR dan akan sentiasa berkhidmat untuk masyarakat setempat. –Sarawakvoice