Monday, August 15, 2022

RM536K bekalkan elektrik untuk penduduk Kpg Ulu Sungai Sinjan, Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 28 isi rumah di kawasan Kampung Ulu Sungai Sinjan masih belum mendapat bekalan elektrik.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Elektrik), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (Pemohon Tambahan), di sini, hari ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut kos untuk menyalurkan bekalan elektrik adalah sejumlah RM536,000 bagi tempoh tiga hingga empat bulan.

“Sasaran kita, menjelang suku pertama tahun 2019 nanti, bekalan elektrik itu akan dapat disalurkan kepada 28 isi rumah tersebut.

“Selain itu, kita juga berharap agar semua pihak memberikan kerjasama dalam menangani beberapa isu yang boleh melambatkan pelaksanaan projek ini kelak,”ujarnya.

Sebagai contoh, katanya, faktor izin lalu (way leave) perlu diatasi dengan segera.

“Kita hendak memasang tiang di satu tempat yang telah dipilih akan tetapi tanah tersebut adalah tanah orang lain dan tuan punya tanah tidak memberi keizinan untuk kita mendirikan tiang di kawasan tersebut maka ianya akan mengganggu dan melambatkan pelaksanaan projek.

“Di samping itu, terdapat juga kawasan yang melibatkan pihak berkuasa tempatan seperti DBKU yang mungkin sedang dan akan menjalankan projek-projek tertentu di kawasan tersebut.

“Maka, semuanya itu perlu dibawa berbincang supaya kelancaran pelaksanaan projek ini akan dapat kita atasi bersama,”katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ADUN N.9 Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta ketua kaum kampung Malaysia Jaya, Haji Marzuki Hamdan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru