Monday, August 15, 2022

CityOne buka selepas tutup 4 hari

Secara Rawak

KUCHING: CityOne Megamall kini beroperasi seperti biasa selepas ditutup empat hari berikutan insiden letupan Restoran NeNe Chicken dalam kejadian pada Selasa lalu.

Bahagian yang dibuka hanya membabitkan Blok C dan Blok D, di Mall 1, manakala Mall 2 telah dibuka sepenuhnya.

Bagaimanapun Blok A dan Blok B pusat beli-belah itu dijangka dibuka semula pada Rabu ini sekiranya mendapat pengesahan keselamatan.

Tinjauan Sarawakvoice.com hari ini mendapati pusat beli -belah itu sudah mula dikunjungi orang ramai seawal jam 11 pagi.

Namun keadaan pengunjung dilihat agak kurang berbanding sebelum kejadian.

Salah seorang peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata kehadiran pengunjung di pusat beli belah kurang sejak dibuka semalam.

Bagaimanapun katanya jumlah pengunjung dijangka bertambah dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Mungkin pengunjung masih terkesan dengan kejadian pada Selasa, namun kami (peniaga) harus menjalankan operasi seperti biasa,” katanya.

Pemilik pusat beli belah berkenaan Stephen Long Tine Chung sebelum ini dalam kenyataannya mendedahkan Perunding Kejuruteraan Struktur Bertauliah sudah memberi pengesahan insiden letupan dalaman terbabit tidak menjejaskan struktur integriti bangunan pusat beli belah berkenaan.

Justeru, pihaknya diberikan kelulusan untuk membuka semula CityONE daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selain itu pengunjung juga diberikan kadar percuma untuk meletakkan kereta bermula hari ini sehingga berakhir dalam tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Pada Jumaat lalu, pemeriksaan mendapati suis utama, sistem pendingin hawa termasuk komponen elektrik di CityOne Megamall, disahkan selamat, dengan penyewa premis dibenarkan masuk ke premis masing-masing pada jam 2 petang hari sama.

Dalam kejadian Selasa lalu, rangkaian francais makanan segera Korea, NeNe Chicken Malaysia, meletup dipercayai berpunca daripada kebocoran gas ketika kerja ubah suai sedang dijalankan.

Letupan berkenaan menyebabkan Tchee Kiom Joong, Chin Hsien Loong, dan O Kui Lim terkorban selain mencederakan 41 mangsa lain. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru