Projek kerajaan Sarawak melalui tender, tegas menteri

0
3

KUCHING: Tiada penyelewengan yang berlaku dalam melaksanakan projek-projek di bawah Kerajaan Negeri.

Itu kenyataan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman), Datuk Talip Zulpilip ketika menghadiri Majlis Perasmian Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2018 Peringkat Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Kata Talip, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diberikan peruntukkan sebanyak RM5 juta setahun bagi melaksanakan projek-projek di kawasan masing-masing.

“Akan tetapi, duit tersebut dibayar kepada Pejabat Residence dan projek-projek yang dilaksanakan itu dipantau oleh Pejabat Residence.

“Jadi, tuduhan yang mengatakan bahawa duit tersebut “masuk poket” adalah tidak benar,”jelasnya.

Tegasnya, masyarakat perlu mempercayai apa yang dinyatakan oleh Jabatan Audit dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya cerita yang disebarkan dalam media sosial.

“Tidak ada cara wakil rakyat mahu pun pegawai-pegawai hendak meraih keuntungan secara tidak betul.

“Ini kerana, semua projek yang dilaksanakan menggunakan kaedah tender terbuka dan mencabut undi, jadi tidak ada berlaku sebarang penyelewengan terhadap sesuatu projek yang dilaksanakan itu,”ujarnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, jika terdapat sebarang penyelewengan dalam melaksanakan projek atau projek-projek yang dilaksanakan itu bermasalah boleh terus menghubungi pihak SPRM dan mereka akan menyiasat perkara tersebut.

“Saya yakin, rakyat menyokong usaha kita dalam membanteras apa juga kesalahan dan penyelewengan,”katanya. –Sarawakvoice