Program walk about semai sikap benci akan rasuah

0
9

KUCHING: Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) telah disambut di seluruh dunia pada 9 Disember setiap tahun.

Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Faizal Aminuddin berkata, tema pada kali ini adalah “Bersama Memerangi Rasuah”.

“Antara objektif sambutan HARA adalah untuk mempromosikan Hari Anti Rasuah Antarabangsa ini kepada masyarakat di luar sana supaya dapat meningkatkan kesedaran betapa bahayanya rasuah terhadap masyarakat dan negara.

“Selain itu, program lain yang diadakan adalah Walk About Perdana yang mana merupakan satu program kerjasama antara SPRM Sarawak, YARM serta Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION),”jelasnya ketika berucap melancarkan program Walk About Perdana, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, melalui program ini juga dapat menanam sifat tanggungjawab dalam masyarakat bahawa pembenterasan jenayah rasuah adalah tanggungjawab bersama dan bukan hanya dipikul oleh SPRM sahaja.

“Program Walk About Perdana HARA 2018 sedikit sebanyak dapat mendekatkan lagi masyarakat kepada SPRM.

“Diharapkan dengan adanya program sebegini dapat mewujudkan masyarakat yang tidak bertoleransi dan bencikan rasuah,”katanya.

Seramai 100 pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam yang dikenali sebagai Sukarelawan HARA 2018 turut menyertai Program Walk About Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA).

Antara institusi yang terlibat adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara Kampus Samarahan (UiTM) dan Kolej Komuniti Kuching.

“Terdapat tiga lokasi yang menjadi pilihan untuk menjayakan Program Walk About Perdana HARA 2018 Peringkat Negeri Sarawak adalah di Tebingan Waterfront, Medan Niaga Satok dan AEON Mall.

“Seramai 100 sukarelawan HARA 2018 akan bergerak ke tiga lokasi yang dipilih sekaligus menjalankan survey berkaitan lima soalan ringkas dengan menggunakan aplikasi Google Form ke atas responden.

“Setiap sukarelawan ditugaskan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 20 responden,”katanya. –Sarawakvoice