Friday, October 7, 2022

Perkenal identiti nasional dalam subjek Titas

Secara Rawak

KUCHING: Identiti nasional perlu diperkenalkan melalui pendidikan dalam subjek Hubungan Etnik serta Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) di peringkat universiti selain satu cara untuk meningkat semangat nasionalisme kenegaraan.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata sebagai contohnya dalam perbalahan mengenai isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Jadi sebelum kita merujuk di mana-mana instrumen atau antarabangsa, eloklah kita mengenali negara kita ini. Sebab saya belum yakin tentang tahap warganegara Malaysia ini mengenali negaranya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Ceramah Memahami Perlembagaan Persekutuan di sini.

Shamrahayu adalah antara panel jemputan pada program Zamalah Wartawan Malaysia 2018 yang berlangsung di Kuching, Sarawak selama dua minggu yang disertai 27 peserta daripada Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Beliau yang juga seorang pakar perlembagaan berkata warganegara perlu memahami perlembagaan untuk mereka mengenali identiti sendiri dan bukan belajar perlembagaan sebagai satu subjek undang-undang.

“Biarkan pelajar itu seronok belajar Hubungan Etnik atau Titas itu dengan literasi perlembagaan…Sebab sebut sahaja perlembagaan orang ingat itu undang-undang, besar , berat dan eksklusif tapi sebenarnya tidak,” katanya.

Shamrahayu berkata kefahaman pendidik juga perlu ditingkatkan agar pelajar mendapat maklumat yang tepat, benar dan baik.

Sementara itu, mengulas mengenai Penubuhan Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) beliau berkata ia menjadi isu yang agak berat dan besar serta wajar diselesaikan.

“Kalau difikirkan kita perlu ada jawatankuasa pemandu untuk mendapatkan pengisian yang jelas…saya fikir ia pendekatan yang baiklah…Sebab kita tak boleh biarkan isu-isu begini kekal berlegar dalam kalangan masyarakat…ia lebih buruk daripada yang kita sangka mungkin,” tambahnya.

Shamrahayu berkata negara sepatutnya mempunyai menteri yang menguruskan negeri Sabah dan Sarawak dan persekutuan.

Pada 10 Okt lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mengumumkan nama 16 anggota Jawatankuasa Pemandu yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyemak dan menyelaraskan MA63.-BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru