KUCHING: Seorang kritikal seorang diisytihar maut dalam dua kes terbaharu rabies di Sarawak.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes melibatkan manusia ini dengan Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kes yang disyaki masih dalam rawatan dan pemerhatian pakar perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Kedua-dua kes ini masih menunggu keputusan ujian makmal bagi pengesahan penyakit,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Kes disyaki rabies yang pertama melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 64 tahun yang tinggal di Kuching.

“Pada pertengahan September 2018, pesakit ini telah digigit pada betis oleh seekor anak anjing yang juga telah menggigit isterinya di ibu jari.

“Anjing itu baru dipungut dan dipelihara oleh kedua-dua pasangan suami isteri ini seminggu sebelum kejadian gigitan tersebut.

Selepas digigit katanya, anak anjing ini telah dilepaskan di kawasan Matang dan status terkininya tidak diketahui.

“Selepas digigit, pesakit hanya mencuci luka gigitan tersebut dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan.

“Pada 27 November 2018, pesakit mengalami sakit lutut serta lemah pada anggota bawah badan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing kepada pengamal perubatan swasta yang merawat.

Pada 2 Disember 2018 kata Noor Hisham, mangsa telah mendapatkan rawatan di HUS apabila keadaannya tidak bertambah baik.

“Pesakit dimasukkan ke wad dan beliau menunjukkan gejala kekeliruan dan dipindahkan ke Wad Penyakit Berjangkit untuk pemerhatian lanjut.

“Isteri beliau tidak mengalami sebarang gejala dan vaksin anti-rabies telah mula diberikan.

Kes disyaki rabies kedua pula melibatkan juga seorang lelaki warga emas berumur 74 tahun yang tinggal di Kuching.

“Pada 24 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian sebelah kiri badan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Pada keesokan harinya, beliau telah dihantar ke HUS untuk rawatan lanjut kerana keadaannya bertambah teruk.

Pada 28 November 2018 katanya, pesakit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia pada 7 Disember 2018, pada jam 3. 15 pagi dengan punca kematian sebagai clinical rabies.

“Siasatan mendapati pesakit tidak mempunyai sejarah digigit oleh haiwan.

“Beliau ada membela seekor anjing dan seekor kucing yang telah diberi vaksin anti-rabies pada tahun 2018 ini.

“Haiwan-haiwan tersebut kelihatan normal dan tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit rabies.

Kedua-dua kes disyaki rabies ini masih menunggu pengesahan ujian makmal.

Spesimen klinikal katanya, telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan sedang diproses.

Sejak 30 Jun 2017 sehingga hari ini, jumlah kes yang disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah 14 orang termasuk 13 kematian dan satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Sehingga 7 Disember 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 56 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. –Sarawakvoice