KUCHING: Kompleks beli-belah CityOne Megamall yang terbabit insiden letupan gas pada Selasa, kembali beroperasi hari ini selepas diberi kebenaran berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Menurut pemajunya Kenbest Sdn Bhd, kebenaran beroperasi semula itu diberikan kepada Blok C dan D yang menempatkan Mall dan Mall 2.

“Perunding kejuruteraan struktur telah mengesahkan letupan itu tidak menjejaskan integriti struktur bangunan,” demikian menurut Pengarah Kenbest, Stephen Long Tine Chung dalam kenyataan hari ini.

Katanya Blok A dan B kompleks itu pula dijangka dibuka semula selewat-lewatnya Rabu ini.

“Pengunjung juga akan menikmati kemudahan tempat letak kenderaan percuma sehingga diberitahu kelak,” katanya.

Dalam kejadian itu yang dipercayai disebabkan kebocoran gas di outlet NeNe Chicken, tiga lelaki dikenal pasti sebagai O Kui Lim, 49 dan Tchee Kiam Jong, 24, masing-masing dari sini, serta Chin Hsien Long, 29 dari Pulau Pinang maut selepas tertimbus di bawah runtuhan.

Kejadian turut menyebabkan 41 lagi cedera. – BERNAMA