KUCHING: Barisan pemain Belia Lundu diminta mempraktikkan tiga eleman iaitu fokus sepanjang masa, bijak menyempurna peluang dan mengelak kesilapan sepanjang aksi final Piala Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg petang ini (Ahad).

Ia penting bagi Belia Lundu untuk menggapai misi menjulang mahkota juara apabila turun berdepan skuad SSN Sarawak di Stadium Negeri, Petra Jaya pada 3 petang ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Datuk Amar Hajah Jamilah Anu menegaskan, meraih gelaran juara antara fokus utama yang diletakkan di bahu para pemain.

Bagaimanapun, ia bukan tugas mudah mengambil kira reputasi pasukan lawan (SSN Sarawak) yang dibarisi ramai pemain muda berbakat.

Akan tetapi tambah beliau, segalanya bukan halangan untuk pemain Belia Lundu mencipta kejutan lantas mencapai apa yang diinginkan.

“Yang penting di sini, pemain harus sentias fokus, bijak menyempurnakan peluang terhidang selain mengelak melakukan kesilapan sepanjang perlawanan,” tegas Jamilah.

Kata beliau, peka akan tiga perkara berkenaan mungkin dapat menyaksikan piala keagungan itu akan menyeberangi sempadan Daerah Lundu petang ini.

Tambah beliau, tahun ini merupakan musim pertama pembabitan skuad Belia Lundu bersaing merebut gelaran juara terbabit.

“Saya menaruh harapan tinggi untuk menyaksikan pasukan Belia Lundu pulang dengan trofi juara,” jelas Jamilah.

JADUAL FINAL PIALA ABANG JOHARI ,HARI INI , Belia Lundu lwn. SSN Sarawak
(Std. Negeri, Petra Jaya, 3 petang)

–Sarawakvoice

1. REGANGKAN URAT… Barisan pemai nBelia Lundu yang turut diperkuatkan bekas bintang pertahanan Sarawak, Mohd. Hairol Mokhtar (tengah) melakukan senaman ringan pada sesi latihan terakhir mereka petang semalam.
2. MEMBURU JUARA… Barisan pemain skuad Belia Lundu yang mahu mencipta sejarah apabila turun menentang SSN Sarawak pada aksi final Piala Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Openg 2018 di Stadium Negeri, Petra Jaya petang ini.